Banjir: Penduduk minta tambah baik saliran, tinggikan ban
PUCHONG - Penduduk di Kampung Kuala Sungai Baru, di sini meminta kerajaan Persekutuan dan Selangor menambah baik sistem saliran dan pencegahan banjir di kawasan mereka untuk mengelakkan bencana itu berulang.
Seorang penduduk, M Azle Abdul Manan, 51, berkata, pihak berkenaan sepatutnya memberi fokus kepada penyelesaian jangka panjang bukan sekadar memberikan bantuan kewangan kepada mangsa banjir yang dianggapnya hanya solusi jangka pendek.
Dia yang bekerja sebagai tukang kimpal besi kini tinggal sehelai sepinggang selepas semua barangan di rumahnya rosak akibat banjir pada Isnin dan Disember lalu.
"Saya hanya sempat bekerja selama tiga minggu selepas selesai membersihkan kediaman dari sisa banjir pada Disember lalu. Kerosakan akibat banjir tempoh hari pun masih banyak belum dibaiki, sudah hadapi bencana yang sama,' luah lelaki itu kepada Sinar Harian, pada Khamis.
Kata M Azle, pihak berkenaan perlu meneliti ramalan cuaca di Selangor untuk merangka pelan tindakan segera bagi mengelakkan perkara sama berulang.
"Misalnya, mungkin boleh tinggikan ban. Bantuan sementara (wang) boleh diberi, tapi untuk jangka masa panjang, ia tidak akan menyelesaikan masalah," katanya.
Seorang lagi penduduk, Amirizwan Mohd Yusoff, 36, berkata, dia tidak sanggup lagi menghadapi banjir di tempatnya seperti yang berlaku pada Disember lalu kerana mengalami kerugian hampir RM50,000 termasuk sebuah kereta miliknya yang rosak sepenuhnya.
"Kalau dari segi bantuan kewangan, kerajaan memang salurkan kepada mangsa banjir, tapi sebagai penduduk, kami perlukan penyelesaian jangka panjang daripada kerajaan Selangor atau Persekutuan.
"Diharap perkara ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat kerana kami sudah penat menghadapi banjir," katanya yang bekerja sebagai pegawai logistik di Pelabuhan Klang Utara, Klang.
Bagi Mohd Mizan Mohd Akhin, 42 pula, kerajaan perlu menyegerakan projek tambah baik longkang di kawasan itu berikutan cuaca tidak menentu pada masa ini.
Dia yang merupakan salah seorang penduduk asal turut mengakui peristiwa banjir yang melanda kawasan tersebut adalah yang terburuk sejak 20 tahun lalu.
Dalam pada itu, Muhd Ridhuwan Mohd Zain, 28 berkata, pihak yang terlibat dalam projek pembangunan di sekitar kawasan tersebut perlu membuat sistem saliran yang betul kerana ia turut memberi kesan kepada tempat lain.
"Kalau mereka jalankan projek pembangunan di sekitar kawasan ini, biarlah ada pengaliran yang betul," katanya yang bekerja sebagai penghantar barang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!