Kenyataan Mohd Amar hanya modal retorik tarik sokongan
SITI FATIHAH AWANG - Kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa Singapura sebagai bertuah kerana tiada parti seperti UMNO adalah keterlaluan dan bersifat retorik semata-mata.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, kenyataan tersebut juga dilihat sebagai salah satu cara untuk meraih undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
"Saya sifatkan sebagai satu gurauan kurang cerdik daripada seorang bertaraf Naib Presiden parti yang menyindir seolah-olah Singapura maju kerana tiada UMNO.
"Bagi saya pernyataan ini tiada asas pun, hanyalah modal retorik ceramah Mohd Amar untuk meraih undi sempena PRN Johor ini.
"Nampak sangat beliau terdesak dengan meletakkan kesalahan kepada UMNO kerana beliau tahu populariti Pakatan Nasional (PN) sudah merosot di mata rakyat," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mohd Amar sebelum ini didakwa membuat analogi dengan menyatakan Singapura lebih maju berbanding Malaysia kerana ketiadaan UMNO atau BN di negara itu.
Mengulas lanjut, Noor Hariri berkata, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan itu juga tidak berasas, tiada fakta dan hanya untuk meraih populariti di hadapan jentera parti sahaja, bukannya penduduk tempatan.
Katanya, kenyataan itu juga bagaikan mencerminkan diri sendiri kerana pembangkang yang kuat adalah mereka yang mempunyai hujah dan pandangan yang jelas tentang hala tuju sesebuah negara.
"Ini tidak berlaku kepada parti itu yang sentiasa bersepakat bersama parti-parti berlainan ideologi dan fahaman seperti DAP, walaupun parti itu terang-terang menolak Islam sebagai agama rasmi dan mempertikai hak orang Melayu di Malaysia.
"Pakatan pembangkang hanyalah bermotif untuk menjatuhkan UMNO dan BN sahaja, tanpa ada tawaran terbaik untuk rakyat.
"Penyertaan PN di dalam pilihan raya Johor ini bukanlah untuk memberi khidmat kepada rakyat, tetapi hanya menjadi pengacau pertembungan di antara BN melawan Pakatan Harapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!