BN berjaya tepis serangan pembangkang
KOTA TINGGI - Barisan Nasional (BN) berjaya menangkis serangan daripada pembangkang sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, pembangkang pula dilihat tidak memberikan banyak tawaran kepada pengundi sebaliknya hanya menggunakan taktik menyerang BN sepanjang tempoh tersebut.
“Namun dalam dua minggu ini, saya lihat kebanyakan isu dapat BN tepis dan jelaskan dengan baik kepada pengundi serta kita berjaya mengalih atau menumpukan perhatian pengundi kepada isu dalaman Johor.
“Ini supaya mereka tidak terkeliru atau 'termakan' helah parti lawan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program ramah mesra bersama penduduk di Kampung Lukut di sini, pada Khamis.
Shahril Sufian berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu berkaitan beberapa isu di kawasan Felda juga dilihat telah menangkis serangan daripada pembangkang mengenai perkara tersebut.
“Penjelasan Perdana Menteri amat membantu," ujarnya.
Perdana Menteri pada Rabu menyifatkan, tindakan parti politik yang memfokuskan isu Felda dalam kempen PRN Johor sebagai cubaan untuk merosakkan fikiran peneroka dan generasi kedua.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!