Jumlah mangsa banjir di tiga negeri menurun
KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Johor, Melaka dan Selangor yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 327 orang daripada 83 keluarga petang ini berbanding 449 orang daripada 120 keluarga pagi Khamis.
Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam laporan terkini pada 4 petang ini memaklumkan 33 orang daripada tujuh keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Kluang Johor yang dibuka sejak Rabu.
Hanya satu PPS dibuka di Jasin, Melaka iaitu di SK Parit Penghulu yang dibuka pada 8 Mac lepas yang menempatkan 43 mangsa daripada 11 keluarga.
Sementara itu di Selangor, 237 mangsa daripada 62 keluarga di daerah Kuala Langat dan Sepang, dipindahkan ke lima PPS yang beroperasi, termasuk satu PPS yang baru dibuka hari ini iaitu Sekolah RTB Bukit Changgang di Kuala Langat yang menempatkan sebuah keluarga yang terdiri daripada enam individu.
Tiga lagi PPS di Kuala Langat adalah Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom dan Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang manakala satu PPS di Sepang iaitu SK Kota Warisan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!