Tanah runtuh: Operasi kesan tiga lagi mangsa tertimbus

Anggota JBPM bertungkus-lumus ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai 2 Ampang malam ini. Foto Bernama
Anggota JBPM bertungkus-lumus ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai 2 Ampang malam ini. Foto Bernama
A
A
A

AMPANG - Pasukan mencari dan menyelamat masih mengesan tiga lagi mangsa lelaki yang dipercayai tertimbus dalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai di sini pada Khamis.

Dua daripada mereka adalah penghuni rumah teres dua tingkat, manakala seorang lagi pekerja kontraktor syarikat penyelenggaraan Air Selangor.

Terdahulu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berjaya menyelamatkan seorang lelaki berusia 87 tahun yang tertimbus dalam kediamannya.

Sejam kemudian pasukan penyelamat menemui lokasi isteri mangsa pertama sebelum membawanya keluar dari runtuhan tanah pada jam 9.10 malam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bagaimanapun wanita warga emas berusia 85 tahun itu disahkan meninggal dunia.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang lain masih dilakukan membabitkan lebih 100 pegawai dan anggota JBPM Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Kita juga turut menyarankan kepada penduduk di kawasan berhampiran lokasi kejadian untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan MPAJ Taman Mega Jaya, demi keselamatan mereka," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, operasi mencari dan menyelamat itu tetap diteruskan namun bergantung kepada keadaan cuaca.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini tiada pergerakan tanah dikesan namun kita tidak menolak kemungkinan akan memberhentikan seketika usaha mencari tiga lagi mangsa sekiranya hujan lebat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!