Permintaan perjalanan udara meningkat walaupun penularan Omicron
KUALA LUMPUR - Jumlah permintaan untuk perjalanan udara pada Januari 2022 meningkat 82.3 peratus tahun ke tahun namun jatuh 4.9 peratus berbanding Disember 2021, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Berdasarkan data asas pelarasan musim, IATA melaporkan bahawa perjalanan udara domestik pada Januari 2022 meningkat 41.5 peratus berbanding setahun yang lepas namun jatuh 7.2 peratus berbanding Disember 2021.
Hasil penumpang bagi setiap kilometer untuk penumpang antarabangsa atau RPK meningkat 165.6 peratus daripada Januari 2021 namun merosot 2.2 peratus bulan ke bulan antara Disember 2021 dan Januari 2022.
"Pemulihan perjalanan udara terus berlaku pada Januari tahun ini, walaupun berdepan halangan dipanggil Omicron. Mengetatkan kawalan di sempadan tidak menghentikan penularan varian itu.
"Namun di kawasan yang imuniti penduduknya kuat, sistem kesihatan awamnya masih terkawal. Banyak kerajaan kini menyelaraskan dasar Covid-19 agar ia seiring dengan dasar untuk virus endemik yang lain,” kata Ketua Pengarah IATA Willie Walsh dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ini termasuk menarik balik sekatan perjalanan yang telah memberi kesan buruk kepada kehidupan, ekonomi dan kebebasan untuk melakukan perjalanan.
Walsh berkata angka Januari itu tidak termasuk sebarang kesan daripada konflik Rusia-Ukraine yang bermula pada akhir Februari.
Beliau juga menjangkakan sekatan yang terhasil dan penutupan ruang udara akan memberi kesan negatif terhadap perjalanan, terutamanya dalam kalangan negara jiran. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!