'Beberapa saat sahaja lori sudah tertimbus' - Saksi
AMPANG - "Kejadian berlaku pantas, beberapa saat sahaja saya lihat lori sudah tertimbus," kata kakitangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Angeozeel Andrew, 21, saksi kejadian tanah runtuh di Jalan Teratai, Bukit Permai di sini pada Khamis.
Angeozeel berkata, ketika kejadian dia bersama tiga rakan termasuk salah seorang mangsa, A Mahendran, 37, menaiki dua buah lori ke lokasi tersebut untuk kerja penyelenggaraan sekitar jam 4.30 petang.
“Ketika mahu memulakan kerja-kerja penyelenggaraan, tiba-tiba hujan lebat dan kami masuk ke dalam lori semula.
“Saya bersama seorang rakan masuk ke sebuah lori di bahagian hadapan pada jarak 10 meter dari lori kedua yang dinaiki dua lagi rakan termasuk Mahendran.
“Ketika kami berehat di dalam lori, tiba-tiba saya mendengar dentuman kuat seperti petir sebelum saya menoleh ke belakang dan melihat lori mereka ditimbus tanah," katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Khamis.
Dia dan dua lagi rakan berlari keluar dari kenderaan tersebut untuk menyelamatkan diri tetapi namun kelibat Mahendran tidak kelihatan.
“Kami kemudian panggil penghuni berhampiran supaya mereka keluar dari rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Ujarnya, mengenali Mahendran sejak mula berkhidmat di Air Selangor dan berasa terkilan dengan nasib yang menimpa rakannya itu.
“Saya agak rapat dengan dia (Mahendran) kerana sering bersama dalam tugas penyelenggaraan termasuk di kawasan ini.
“Saya difahamkan dia sudah bekerja di sini (Air Selangor) kira-kira tiga tahun lalu dan dia seorang yang pendiam,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!