Penduduk desak isu banjir ditangani segera
KLUANG - Penduduk di beberapa kampung seperti Kampung Batu 6, Kampung Sungai Rambai, Bukit Keremoyang, Kampung Pisang, Kampung Paya Mas dan Kampung Mohd Amin mendesak pihak berkaitan supaya bertindak segera dalam mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan mereka.
Tinjauan Sinar Harian di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Kencana pada Khamis, mendapati kejadian banjir itu berpunca daripada sistem perparitan tersumbat seterusnya menyebabkan air hujan daripada bukit melimpah ke perkampungan tersebut.
Penduduk dikenali Misna Saem, 43, berkata, masalah banjir yang berlaku pada Selasa itu telah menyebabkan kerugian harta benda dan mengganggu aktiviti harian keluarganya.
"Sebab banjir itu berlaku pada waktu malam, memang teruk lah. Barang rumah kami banyak, jadi kita tidak dapat selamatkan.
"Air (banjir) naik dengan mendadak. Dan perkara ini berlaku setiap tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, suri rumah mahu dikenali Noor Sazariah, 35, berkata, insiden banjir kilat di kawasan tersebut memang selalu berlaku tetapi tidak seteruk yang dijangkakan.
Tambahnya, air banjir pada kali ini naik sehingga paras paha dalam masa dua jam sahaja berbanding sebelum ini yang mengambil masa dua atau tiga hari.
"Sebelum ini memang banjir juga, tetapi tidak seteruk sekarang.
"Sebab sebelum ini jika banjir pun, tidak sampai kena pindah ke pusat penempatan," ujarnya.
Di samping itu, pesara, Zarina Yaakob, 56, berkata, ramai menasihatkannya supaya segera berpindah ke PPS berikutan kenaikan paras air kali ini lebih cepat dari yang sebelumnya.
"Saya cakap tak boleh keluar sebab air dah naik, kereta dah tak boleh bawa keluar.
"Orang kampung kata mereka akan datang tetapi lepas itu, mereka beritahu tidak ada kenderaan tinggi untuk angkut mangsa banjir.
"Jadi esok pagi itu, saya berpindah ke PPS sebab air banjir sudah mula surut," jelasnya.
Sementara itu, suri rumah, Suhaila Jamal, 44, menggesa supaya kerajaan atau pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah yang telah melanda perkampungan mereka sekian lama.
"Saya harap agar kerajaan mengambil tindakan untuk memperbetulkan sistem perparitan dan memperluaskan keadaan sungai di kampung.
"Maksudnya sungai itu perlu dalam, jangan cetek. Kalau sungai itu besar sekalipun tetapi cetek, tak guna juga," menurutnya.
Selain itu, buruh kasar, Hamdan Ismail, 53, turut mencadangkan supaya longkang yang menyalurkan air itu dipanjangkan dan terus disambung ke sungai.
"Puncanya memang daripada air dari bukit yang melimpah ke kampung, saya rasa longkang itu perlu disambung.
"Kalau dia boleh selesaikan, insya-ALLAH (boleh atasi masalah banjir)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!