Rebut peluang imarah masjid mulai 1 April
IPOH - Umat Islam di Perak digesa merebut peluang untuk menunaikan solat fardu di masjid dan mengimarahkan rumah ALLAH itu susulan pengumuman tiada lagi penjarakan saf mulai 1 April depan.
Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak), Abd Farid Salleh berkata, setelah sekian lama saf tidak boleh dirapatkan bagi solat berjemaah di masjid, pengumuman itu sesuatu yang menggembirakan buat warga masjid.
Menurutnya, bagaimanapun keputusan itu masih tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri dan jemaah perlu akur dengan sebarang keputusan yang akan dibuat.
"Jika pengumuman rasmi mengenai perkara ini dibuat oleh pihak berkuasa agama negeri, Insya-ALLAH jumlah kehadiran jemaah ke masjid pasti akan bertambah berbanding sedia ada.
"Saya berharap ahli kariah mengambil peluang ini utk istiqamah menunaikan solat fardu berjemaah dan kembali mengimarahkan masjid," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, Abd Farid berkata, walaupun beberapa kelonggaran diberikan, jemaah tetap perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti berwuduk dari rumah, membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka dan sebagainya.
Menurutnya, kesemua SOP tersebut mestilah dipatuhi demi menjaga kepentingan jemaah serta institusi masjid.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati, di sini, Zulkifly Ibrahim berkata, langkah tersebut amat baik dan sangat dinanti-nantikan jemaah.
Katanya, walaupun masih ada kebimbangan dalam kalangan jemaah disebabkan penularan Covid-19 yang tinggi ketika ini, ia tetap memberi harapan positif kepada jemaah.
Jelasnya, selepas ini tiada lagi rungutan diterima daripada jemaah berkaitan penjarakan saf solat jemaah itu.
Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bermula 1 April 2022, aktiviti solat jemaah di masjid dan surau boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Keputusan itu dibuat susulan pengumuman bahawa Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula bulan hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!