'Nak berjuang, tolak kepentingan peribadi'
JOHOR BARU - 'Letak kepentingan peribadi ke tepi tetapi bawa kepentingan dan suara rakyat ke peringkat tertinggi'.
Demikian prinsip perjuangan Nornekman Osman, calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas yang meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi.
Anak sulung bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian itu menegaskan, tiada istilah kepentingan diri setelah seseorang itu memilih jalan untuk berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, menjadi satu norma baharu etika pekerjaan apabila seseorang itu bergelar Yang Berhormat atau YB iaitu gelaran sebenarnya lebih menjurus kepada 'Yang Berkhidmat'.
"Apabila seseorang itu memutuskan untuk berjuang dan berkhidmat kepada rakyat, maka bermula kehidupan baharu yang memerlukan pengorbanan diri termasuk masa, tenaga dan keluarga.
"Maka di sini jugalah bermula norma baharu etika pekerjaan sekiranya dipilih menjadi seorang YB iaitu 'Yang Berkhidmat' dengan membawa imej bersih, menunaikan segala janji kepada rakyat serta mengenepikan segala kepentingan diri.
"Menjadi suatu perkara yang penting untuk mengenepikan kepentingan diri kerana ia akan menolak tercetusnya 'conflict of interest' dan keterbatasan bersuara sekiranya seseorang itu mempunyai kepentingan diri dalam satu perkara," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Pejuang Negeri Johor berkata, sekiranya seseorang calon telah berjaya mendapat mandat daripada rakyat, maka berkhidmatlah dengan sepenuh hati.
Katanya, sekiranya ada bidang perniagaan yang diuruskan sebelum ini iaitu sebelum bergelar YB, maka perniagaan tersebut sewajarnya perlu diserahkan kepada pihak lain yang boleh dipercayai bagi mengelak berlakunya 'conflict of interest'.
Jelasnya, perkara itu penting untuk mengelak persepsi tidak baik daripada orang ramai terutama bagi mereka yang beranggapan akan berlaku isu pilih kasih kerana jawatan disandang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Jika masih juga ingin meneruskan perniagaan yang telah diusahakan selama ini, maka buatlah perniagaan di luar negeri Johor bagi mengelak tercetusnya sebarang persepsi negatif daripada orang ramai.
"Malah sekiranya ada kepentingan peribadi di dalam satu kesatuan atau sebagainya, maka suara kamu tidak kedengaran kerana takut projek yang diminta akan ditolak atau tidak diluluskan.
"Maka di sini situasi menjadi sukar dan kamu tidak lagi berjaya untuk menjuarai suara rakyat kerana masalah kepentingan peribadi," katanya.
Sementara itu Nornekman berkata, dia sangat berharap agar ujian psikometrik RBTag anjuran pasukan Rasuah Busters dapat dilakukan secara berkala kepada semua ADUN di Johor terutama kepada ahli Pejuang.
Jelasnya, tindakan itu dilihat sangat penting bagi mengingat dan memastikan semua ahli Pejuang bahawa mereka sentiasa berintegriti serta sama sekali tidak terlibat dengan salah guna kuasa.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!