Terkejut dengar bunyi dentuman kuat dua kali: Penduduk
AMPANG - Penduduk di Taman Bukit Permai 2 di sini dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sebanyak dua kali sebelum mengetahui terdapat kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan yang turut menyebabkan jiran mereka terperangkap pada petang Isnin.
Salah seorang penduduk, Man Leong Dias, 60, terdengar bunyi dentuman kuat pada sekitar jam 5.50 petang setelah pulang ke rumahnya yang jaraknya hanya 200 meter dari lokasi kejadian.
Dia yang menetap di situ selama kira-kira 12 tahun turut dikejutkan dengan dentuman kuat kali kedua terdengar lima minit kemudian sewaktu hujan masih lebat.
"Ini kali pertama terjadi (tanah runtuh), sangat teruk.
"Saya harap hari ini tak hujan, kalau tidak mungkin lebih teruk (tanah runtuh)," katanya ketika ditemui media pada Selasa.
Dalam pada itu, Ishak Junos, 54, yang tinggal berhampiran kawasan sini terkejut melihat kejadian tanah runtuh berlaku di depan setelah pulang dari kerja bersama rakannya.
Dia ketika melihat kejadian tersebut dimaklumkan oleh penduduk sekitar terdapat warga emas terperangkap dalam runtuhan berkenaan.
"Penduduk sekitar sini ada beritahu ada seorang pak cik masih dalam salah sebuah rumah yang tertimbus, tapi nak tolong macam mana?
"Tak ada apa-apa projek pun di bawah itu, itu yang pelik macam mana boleh runtuh, mungkin sebab hujan," katanya yang menetap di situ selama 20 tahun.
Penduduk lain, Lee Wel Hua, 55, melihat sendiri kereta dan rumah sekitar tertimbus dalam runtuhan yang berlaku hanya 300 meter dari rumahnya.
"Anak saya yang mengenali cucu kepada mangsa yang terperangkap dalam tanah runtuh itu terus menghubungi saudara mangsa untuk memaklumkan tentang insiden tersebut," katanya yang menetap di sini selama 22 tahun.
Pada Khamis, kira-kira 15 buah rumah mengalami kerosakan termasuk dua tertimbus selepas berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Teratai, Taman Bukit Permai di sini lewat petang Khamis.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.54 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, berdasarkan laporan awal, sebanyak 15 buah rumah terkesan termasuk dua daripadanya tertimbus serta 10 buah kenderaan di lokasi kejadian turut dilaporkan terjejas.
Kekadian berkenaan turut mengorbankan empat orang manakala hanya seorang warga emas dalam lingkungan 80-an yang merupakan penduduk di situ terselamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!