Presiden Ukraine dakwa Rusia lakukan genosid
KIEV - Presiden Ukraine mendakwa Rusia melakukan pembunuhan beramai-ramai selepas tentera Kremlin mengebom hospital kanak-kanak dan wad bersalin di Mariupol.
Volodymyr Zelenskyy dalam ucapan lewat Rabu berkata, 17 orang cedera dalam pengeboman itu dan pasukan penyelamat masih mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan.
“Hari ini, kita mesti bersatu dalam mengecam jenayah perang Rusia ini, yang mencerminkan semua kejahatan yang dibawa oleh penceroboh ke tanah kita.
"Hospital musnah. Sekolah, gereja, rumah musnah. Dan semua orang terbunuh. Semua kanak-kanak terbunuh.
"Bom udara ke atas hospital bersalin adalah bukti terakhir. Bukti bahawa pembunuhan beramai-ramai rakyat Ukraine sedang berlaku," kata Zelenskyy.
Beliau menuntut negara-negara demokratik untuk meningkatkan sekatan terhadap Rusia bagi memaksanya ke meja rundingan.
Bandar Zhytomyr di Ukraine menjadi sasaran serangan udara yang menyasarkan loji jana kuasa haba dan bangunan awam pada Rabu.- Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!