JobsMalaysia tawar 11,617 kekosongan kerja di Melaka
ALOR GAJAH - JobsMalaysia satu aplikasi pencarian pekerjaan dalam talian oleh Kementerian Sumber Manusia menawarkan 11,617 kekosongan pekerjaan dalam pelbagai sektor di negeri Melaka sepanjang tahun lepas.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka Rosli Jantan berkata mengikut stastistik yang ada, di Melaka ini penawaran pekerjaan dalam bidang teknikal seperti jurutera dan juruteknik adalah lebih tinggi daripada bidang bukan teknikal seperti kerani atau pun berkaitan dengan pengurusan pejabat.
“JobsMalaysia akan sentiasa bekerjasama dengan pihak majikan di negeri ini, yang mahu menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang atau sektor.
“Kita juga bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi yang terdapat di Melaka membantu pelajar khususnya yang tamat pengajian, mencari pekerjaan menerusi karnival atau ekspo kerjaya yang dianjurkan,” katanya selepas Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Melaka 2019 dan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) Strategik antara UiTM Melaka dan JTK Melaka.
Ekspo kerjaya sehari itu menawarkan 2,252 peluang pekerjaan oleh 23 majikan dengan 854 kekosongan untuk siswazah, manakala 1,398 lagi untuk bukan siswazah.
Mengulas lanjut, Rosli berkata bagi karnival atau ekspo kerjaya yang dianjurkan, pihak majikan akan dijemput mengadakan sesi temuduga bersama pelajar atau pencari kerja bagi membolehkan mereka bertemu dengan lebih mudah dan di bawah satu bumbung.
Rosli berkata, sehingga kini kadar pengganguran di Melaka kekal terendah berbanding dengan negeri lain iaitu 0.9 peratus pada tahun lepas.
Sementara itu, beliau berkata satu karnival kerjaya khusus untuk sektor pelancongan dan kulinari, Melaka Job Fair Hospitality 2019 akan dianjurkan di Kipmart Bachang pada 22 Jun hadapan.
"Karnival kerjaya sehari itu merupakan kerjasama antara JobsMalaysia dan Melaka Chef Club dan dianggarkan 15 hingga 20 majikan dalam industri hospitaliti tempatan dan luar negara termasuk dari Thailand, Singapura dan India akan turut serta menawarkan peluang pekerjaan yang ada di syarikat mereka," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!