'Inilah gaya berkempen pelampau politik' - Ahmad Zahid

Bunting memaparkan gambar Ahmad Zahid bertulis ‘Salah guna duit anak yatim (asnaf) dan ibu tunggal’ yang dipasang oleh pihak lawan di Kulai, Johor.
Bunting memaparkan gambar Ahmad Zahid bertulis ‘Salah guna duit anak yatim (asnaf) dan ibu tunggal’ yang dipasang oleh pihak lawan di Kulai, Johor.
A
A
A

SHAH ALAM - Inilah gaya berkempen golongan pelampau politik yang sanggup melakukan apa sahaja apatah lagi dalam keadaan terdesak, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak tertentu menggunakan taktik berkempen dengan memasang kain rentang memaparkan wajah beliau dengan tulisan ‘Salah guna duit anak yatim (asnaf) dan ibu tunggal’ di Kulai, Johor menjelang hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurutnya, parti Barisan Nasional (BN) mengetengahkan tawaran mengembalikan kestabilan, kemakmuran, kemajuan dan kesejahteraan kepada Johor.

“Mereka terus menyemai politik kebencian dengan melakukan serangan-serangan peribadi terhadap pemimpin BN.

“Daripada siri ceramah, perbahasan di Dewan Rakyat sehingga memasang sepanduk-sepanduk yang tiada kaitan dengan PRN.

“Barangkali ini sahaja senjata kempen mereka miliki selepas menyedari majoriti rakyat sudah tahu tentang penipuan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengajak rakyat untuk menyaksikan bagaimana beliau dan pemimpin BN mengharungi pendakwaan terpilih yang dikenakan terhadap mereka dengan tabah.

“Kami tahu inilah harga perlu kami bayar demi memastikan BN tidak sesekali "inalilahi wainalilahi rojiun" seperti mereka hasratkan.

Artikel Berkaitan:

“Kami tahu inilah pengorbanan demi memastikan UMNO tidak ‘dihijack’. Mereka telah lama merancang, tetapi kami tidak lalai.

“Saksikan juga kami tidak boleh menjawab secara terperinci mengenai kes kepada umum kerana itu dianggap ‘contempt of court’,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, mereka pula sewenang-wenangnya menggunakan pendakwaan terpilih yang dikenakan terhadap lawan politik sebagai bahan kempen.

“Kami diprovokasi untuk berlawan dengan tangan diikat, itulah sifat pelampau politik licik dan penuh dengan tipu daya.

“Bagaimanapun saya fikir rakyat Johor sudah jemu, muak dan serik dengan permainan politik seperti itu. Apatah lagi selepas menyaksikan ekonomi dan segala yang baik di Malaysia musnah sesudah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tarikh 12 Mac masa untuk bangsa Johor tebus kesilapan lalu dan menghukum pelampau parti politik yang pernah memperdaya mereka,” tegasnya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!