Dua pemilik premis, 68 pengunjung pusat hiburan dikompaun
KUALA LUMPUR - Seramai 70 individu termasuk dua pemilik premis dikompaun RM70,000 dalam serbuan berasingan di dua buah pusat hiburan di ibu kota pada Khamis.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota dan pegawai polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur.
"Dua pemilik premis, 11 pengunjung di premis pertama dan 57 pengunjung di premis kedua dikenakan kompaun RM 1,000.00 setiap individu menjadikan jumlah keseluruhan kompaun RM 70,000.
"Serbuan mendapati pusat hiburan terbabit melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuatkuasakan ketika ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejak 1 Januari 2022 hingga kini, JPJKK Kuala Lumpur telah mengeluarkan 521 kompaun ke atas pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.
"Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan sepanjang tempoh berkenaan berjumlah berjumlah RM521,000.
"Kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan," katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi demi keselamatan umum.
"Operasi akan terus dipertingkatkan lagi dari masa ke masa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!