Perjuangan antirasuah, peluang Pejuang cerah
BATU PAHAT - Peluang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mencipta sejarah biarpun kali pertama bertanding bakal terpahat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Calon Pejuang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Nizam Bashir Abdul Kariem berkata, Pejuang sememangnya memiliki peluang cerah walaupun kali pertama memasuki 'gelanggang' dan bertempur secara sendirian, berbanding parti politik lain yang bergabung demi mencapai kejayaan.
Katanya, perjuangan Pejuang yang jelas memerangi budaya rasuah merupakan kekuatan tersendiri parti baharu tersebut menawan hati orang ramai dan pengundi yang sudah muak dengan parti politik sedia ada.
"Mana-mana parti yang memiliki teras utama menitikberatkan isu antirasuah, maka persepsi pengundi kepada parti tersebut adalah mengutamakan kepentingan rakyat
"Malah parti yang berani memperjuangkan antirasuah merupakan sebuah parti yang mempunyai ketelusan dalam sistem pentadbiran sekiranya dipilih menjadi kerajaan.
"Apatah lagi apabila Pejuang diterajui oleh satu figura politik yang tidak asing seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, maka peluang mencipta kejayaan adalah cerah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Nizam berkata, secara jujurnya pada permulaan tempoh berkempen, beliau sendiri tidak pasti bagaimana Pejuang akan diterima oleh masyarakat khususnya di DUN Rengit.
Namun begitu katanya, apa yang jelas kelihatan adalah keterujaan pengundi untuk melakukan perubahan.
"Apa yang saya nampak adalah pengundi dahagakan perubahan dan kesediaan menerima Pejuang sebagai jalan membuat perubahan kepada negeri Johor tercinta.
"Apabila mereka dimaklumkan bahawa Pejuang diterajui oleh Tun Dr Mahathir, maka bertambahlah keyakinan kepada parti yang ikhlas berkhidmat kepada masyarakat dan mahu melakukan perubahan," katanya.
Tambahnya, perjuangan Pejuang terhadap isu rasuah menjadikan parti itu semakin dekat kepada rakyat.
Jelasnya, rasuah merupakan suatu gejala yang amat serius kerana ia menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi dan undang-undang negara.
"Seketika ini berlaku, anggapannya adalah semuanya boleh dirunding dengan wang ringgit.
"Persoalan saya, tidak kisah orang Islam atau tidak, agama mana atau prinsip mana yang membenarkan pemberian atau penerimaan rasuah?
"Kalau jawapannya adalah tiada, maka berilah undi dan sama-sama berjuang dengan parti Pejuang," katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!