Kamarulzaman teringin nasi kerabu
JERANTUT - "Cukuplah pengalaman sepanjang berada di sana dan tidak akan pulang ke Korea Selatan lagi," kata rakyat Malaysia, Kamarulzaman Mohamed Fauzi@Jazuli, 50, yang sudah pun pulang ke rumahnya di Kampung Batu Balai di sini pada Selasa lalu.
Kamarulzaman yang sebelum ini koma di Korea Selatan dibawa pulang ke tanah air pada 2 Mac lalu dan seterusnya ditempatkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk rawatan selanjutnya.
Menurutnya, dapat pulang semula ke pangkuan keluarga adalah detik yang sangat berharga buat dirinya selepas berangkat mencari rezeki di Korea Selatan pada Oktober 2019.
"Seronok, gembira dan bersyukur dapat pulang ke rumah sendiri, boleh jumpa isteri dan anak-anak lagi pun bosan duduk di hospital.
"Walaupun saya tidak boleh makan macam biasa, tapi saya teringin nak makan nasi kerabu, dah lama tak rasa," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Kamarulzaman koma selepas dilaporkan pengsan di rumah sewanya di Korea Selatan pada 23 Januari lalu disebabkan pembuluh darah pecah.
Beliau kembali sedar pada 14 Februari lalu ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk di Cheongju.
Sementara itu, anak sulung Kamarulzaman, Muhammad Zafifi, 28, memberitahu, mereka sekeluarga terkejut selepas dimaklumkan ayahnya boleh pulang pada Selasa lalu.
"Saya dalam perjalanan menghantar makanan untuk ayah di Hoshas sebelum menerima panggilan ayah dibenarkan pulang ke rumah.
"Kami semua amat bersyukur dan gembira kerana akhirnya ayah dapat pulang ke rumah selepas situasi sedih yang melanda ayah sebelum ini," katanya.
Tambahnya, keluarganya juga sedang mencari masa sesuai untuk mengadakan kenduri doa selamat buat ayah mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!