Walt Disney hentikan semua aktiviti perniagaannya di Rusia

Walt Disney mengambil keputusan menghentikan semua aktiviti perniagaannya di Rusia ekoran peperangan berterusan di Ukraine. - Foto AFP
Walt Disney mengambil keputusan menghentikan semua aktiviti perniagaannya di Rusia ekoran peperangan berterusan di Ukraine. - Foto AFP
A
A
A

ANKARA - Syarikat Walt Disney pada Khamis mengumumkan semua aktiviti perniagaannya di Rusia akan dihentikan berikutan peperangan berterusan di Ukraine, lapor Agensi Anadolu.

Keputusan itu termasuk pelesenan terhadap kandungan dan produk, aktiviti Disney Cruise Line, majalah dan lawatan National Geographic, penerbitan kandungan tempatan dan penyampaian kandungan video melalui rangkaian siaran atau kabel, menurut Disney menerusi satu kenyataan.

"Sesetengah daripada aktiviti perniagaan itu boleh dan akan kami hentikan serta-merta. Lain-lain seperti penyampaian kandungan video dan beberapa kandungan serta pelesenan produk akan mengambil masa disebabkan isu kontrak," tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, Disney berkata, ia akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi pertubuhan bukan kerajaan untuk menyalurkan bantuan segera kepada pelarian.

Pada 28 Februari lalu, syarikat itu mengumumkan bahawa ia telah menghentikan sementara tayangan filemnya di Rusia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!