'Masyarakat India di Kempas tidak terpinggir jika saya menang'
JOHOR BAHRU - Masyarakat India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas tidak akan terpinggir sekiranya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Johor (PRN), pada Sabtu.
Calon Pejuang bagi DUN Kempas, Nornekman Osman berkata, itu janji sekiranya beliau dipilih sebagai wakil rakyat.
"Kebajikan masyarakat India adalah penting dan perjumpaan bersama mereka akan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.
"Saya perlu duduk semeja dengan wakil-wakil komuniti masyarakat India di Kempas untuk mendapatkan maklum balas lebih jelas, mengumpul maklumat terkini mengenai bentuk bantuan yang mereka perlukan," katanya ketika berkempen di Dass Cuisine Curry House di sini, pada Khamis.
Nornekman berkata, sehubungan itu beliau berharap komuniti India di Kempas memberi peluang kepadanya menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
"Jangan melihat saya sebagai anak Datuk Osman Sapian (penyandang DUN Kempas) sebaliknya saya mempunyai pelbagai pengalaman serta pernah berkhidmat di Johor, Kedah serta ibu negara.
"Saya benar-benar harap masyarakat India hadir dan keluar mengundi pada Sabtu ini dan saya akan berusaha sedaya upaya seperti arwah ayah saya yang berjuang untuk masyarakat India di Kempas sebelum ini," katanya.
Menurut Nornekman, terdapat kira-kira 5,000 pengundi India di Kempas.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!