PPPM Perak sumbang RM35,325 kepada mangsa ribut

Tunku Soraya (empat dari kanan) berkenan menyampaikan sumbangan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) cawangan Perak kepada mangsa ribut Kampung Tawas.
Tunku Soraya (empat dari kanan) berkenan menyampaikan sumbangan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) cawangan Perak kepada mangsa ribut Kampung Tawas.
A
A
A

IPOH - Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menyampaikan sumbangan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) cawangan Perak kepada mangsa ribut di Kampung Tawas di sini pada Khamis.

Sumbangan berjumlah RM35,325 itu adalah hasil kutipan Tabung Bantuan Kemanusiaan dilancarkan PPPM cawangan Perak pada 1 Februari hingga 15 Februari lepas di laman rasmi Facebook.

Dalam satu kenyataan di sini berkata, Tunku Soraya selaku Yang Dipertua PPPM cawangan Perak prihatin dengan kejadian ribut berkenaan dan menitahkan agar persatuan mengambil inisiatif membantu mangsa-mangsa yang terkesan.

"PPPM cawangan Perak telah menyiarkan iklan sumbangan di media sosial Facebook rasmi persatuan supaya orang ramai dapat menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan bagi meringankan beban mereka," kata kenyataan itu.

Tempoh 15 hari kutipan berjaya mengumpul sebanyak RM35,325 dan telah diserahkan kepada Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Albert Ho bersama wakil Jawatankuasa Bantuan Ribut Tawas untuk diagihkan kepada mangsa terlibat.

Majlis penyerahan diadakan di Istana Firuz di sini dan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya PPPM cawangan Perak, Tee Huey Ghee.

Dalam kejadian 30 Januari lalu, ratusan rumah di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai musnah dalam kejadian ribut mengakibatkan kerosakan teruk di bahagian bumbung.

Kejadian itu menyebabkan sebahagian besar mangsa yang merupakan masyarakat Cina tidak dapat menyambut Tahun Baharu Cina.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!