Projek terowong: Pulau Pinang tunggu ulasan bertulis
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang sedang menunggu ulasan bertulis daripada dua agensi penting berhubung kajian kebolehlaksanaan bagi projek terowong dasar laut sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaan projek berkenaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, syarikat konsesi, Consortium Zenith Construction (CZC) serta perunding mereka telah membentangkan penemuan kajian kebolehlaksanaan dalam Mesyuarat Exco pada Februari lalu.
Menurutnya, projek itu boleh dilaksanakan tertakluk kepada pematuhan pelbagai syarat teknikal yang mana, Mesyuarat Exco mengarahkan Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari serta Penang Infrastructure Corporation untuk mendapat ulasan bertulis tersebut.
"Kita akan menunggu ulasan bertulis daripada dua agensi penting yang mempunyai pertikaian terhadap projek ini iaitu Penang Port Comission dan Penang Port Sdn Bhd. Ini kerana, terowong akan dibina di bawah laut dan melintasi laluan melibatkan kapal-kapal di perairan ini.
"Dua agensi ini menyuarakan pandangan kepada perunding dan kita akan buat keputusan setelah ulasan bertulis di peroleh kelak," katanya pada sidang media di Komtar pada Jumaat.
Tambahnya, keputusan belum dimuktamadkan dan hanya akan diputuskan apabila kerajaan negeri memperoleh ulasan bertulis berkenaan.
"Keputusan belum dimuktamadkan lagi (sama ada boleh dilaksanakan atau tidak). Kita tak buat keputusan lagi, namun kita mengambil maklum tentang penemuan-penemuan tetapi memandangkan ada dua pertikaian yang kuat dari dua agensi tersebut, maka kita minta ulasan bertulis.
"Ia bagi membolehkan kerajaan negeri menimbang pertikaian berkenaan walaupun projek itu secara teknikal boleh dilaksanakan. Bagaimanapun memandangkan ia melibatkan isu-isu berhubung perairan negeri ini antaranya kawasan pelabuhan, maka kita kena tunggu dahulu," katanya.
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap ulasan bertulis itu akan diterima dalam masa terdekat untuk keputusan dibuat.
Projek terowong dasar sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan salah satu projek yang terkandung dalam Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai keseluruhan RM46 bilion.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan akan membina jambatan sebagai link ketiga hubungan antara bahagian pulau ke tanah besar bagi menggantikan terowong dasar laut.
Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, setakat ini kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh CZC adalah untuk projek terowong bawah dasar laut sahaja dan bukannya untuk jambatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!