'Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar'
PENGERANG - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor khususnya di kawasannya agar tidak terpengaruh dengan isu luar dimainkan pihak pembangkang khususnya isu 'Kluster Mahkamah' dalam kempen PRN Johor.
Menurut Azalina, usaha untuk mendapatkan kestabilan politik melalui pembentukan kerajaan kukuh yang diperjuangkan Barisan Nasional (BN) dilihat lebih relevan kepada rakyat setempat di Pengerang berbanding isu tersebut yang kini sudah dalam proses perbicaraan.
Katanya, kesinambungan pembangunan di bawah Parlimen berkenaan meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar dan Tanjung Surat memerlukan kepada kerajaan negeri yang stabil di samping kerjasama dengan kerajaan pusat.
“Mereka semua ini bila habis PRN akan balik tapi kita ini nak bekerja lepas kita menang. Bukan lepas kita menang kita hilang.
"Sebab itu saya nak ingatkan kepada pengundi, janganlah marahkan nyamuk, dibakarnya kelambu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan tong ikan kepada nelayan di sini pada Jumaat.
Azalina berkata, kejayaannya sebelum ini untuk membangunkan Pengerang melalui projek seperti Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) adalah hasil daripada kerjasama baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
“Cuba bayangkan kalau kerajaan negeri adalah berlainan dengan kerajaan pusat, macam mana kawasan Parlimen Pengerang nak naik dalam masa 20 tahun?
“Orang datang sini cakap jambatan cantik (Jambatan Sungai Johor), RAPID untung. Ya, tapi keuntungan yang mereka dapat adalah daripada kerajaan yang stabil,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Menurut Azalina, antara beberapa isu yang tergendala untuk diatasi disebabkan ketidakstabilan politik sebelum ini adalah berkaitan penyediaan peluang pekerjaan untuk masyarakat dan anak muda tempatan.
Disebabkan itu, beliau berkata, BN mengambil keputusan untuk meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang, Aznan Tamin sebagai calon gabungan tersebut bagi merebut kerusi DUN Tanjung Surat.
“Isu pekerjaan ini adalah isu anak muda dan baru-baru ini pun manifesto BN yang diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad ada berikan komitmen (wujudkan peluang pekerjaan).
“Jadi saya harap calon anak muda yang kita tawar di DUN ini akan menyambung dan buat tuntutan terhadap komitmen tersebut. Saya pun dah tegur supaya jangan lepas menang jadi lupa amanah dan tanggungjawab sebab perjuangan kita belum selesai,” ujarnya.
Pada masa sama, Azalina berkata, pengundi ketika ini dilihat memberi respons yang positif terhadap calon BN yang bertanding di dua kawasan DUN di bawah Parlimennya iaitu Aznan bagi DUN Tanjung Surat dan Fauziah Misri (DUN Penawar).
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!