'Mana Menteri Besar PH, PN dan Pejuang'

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Kegagalan parti-parti politik selain Barisan Nasional (BN) menamakan calon Menteri Besar Johor membuktikan mereka tiada calon sesuai, selain dilihat tidak serius dalam memikul tanggungjawab membangunkan rakyat Johor.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menjelaskan perkara itu berkata, pendekatan tersebut berbeza dengan BN yang lebih awal menamakan calon Menteri Besar sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung esok.

"Rakyat Johor masih tidak tahu setakat petang Jumaat ini, siapa Menteri Besar kami daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

"Dalam erti kata lain, mereka tiada calon Menteri Besar atau berebut calon.

"Kalau pun mereka umum malam ini, ia sudah terlambat memandangkan esok (Sabtu) rakyat Johor pergi membuang undi," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pusat Daerah Mengundi di Kampung Parit Semerah di sini pada Jumaat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi BN Johor akan mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar negeri itu sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

Sinar Harian pada 9 Mac lalu turut melaporkan bahawa calon Menteri Besar bagi PN akan diputuskan selepas memenangi PRN Johor.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walau bagaimanapun pengundi tidak perlu bimbang kerana calon yang bertanding mempunyai kelayakan yang baik.

Artikel Berkaitan:

Bagi PH pula, mereka tidak akan menggunakan strategi mengumumkan calon menteri besar pada pilihan raya negeri kali ini.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, sehingga kini masih tiada rundingan di peringkat pimpinan menyenaraikan calon Menteri Besar.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!