Lantik 30 peratus wanita sebagai ahli lembaga pengarah GLC, GLIC
KUALA LUMPUR - Kerajaan menetapkan agar setiap Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) tersenarai mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita sebagai ahli lembaga pengarah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu hendaklah dicapai menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023.
"Bukan sahaja sempena Hari Wanita Sedunia baru-baru ini, kita sepatutnya mengiktiraf secara berterusan peranan wanita sebagai pemimpin dan penyumbang penting kepada kemajuan sosioekonomi dan kemakmuran negara.
"Sehubungan itu, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, setiap GLC tersenarai hendaklah mencapai tahap penyertaan wanita sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023," katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Terbuka GLC di sini pada Jumaat.
Menerusi pengumuman Bajet 2022, kerajaan menetapkan bahawa semua syarikat tersenarai diwajibkan melantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita sebelum 1 Jun 2023.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kesemua GLC dan GLIC disarankan supaya mempunyai sasaran jangka masa sederhana dan sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050.
"Ini demi merealisasikan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk mencapai net zero carbon emissions (pelepasan karbon sifar bersih) 2050," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!