Najib dakwa hutang kerajaan bertambah ketika Muhyiddin jadi PM
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan kekurangan duit sehingga jumlah hutang bertambah serta dana terpaksa dikorek dari tabung-tabung kerajaan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Najib berkata, hutang negara bertambah 46 peratus dalam masa singkat dan had hutang terpaksa dinaikkan dua kali dari 55 peratus ke 60 peratus dan terkini ke 65 peratus sehingga Malaysia diturunkan penarafan dari gred A ke gred B.
“Beberapa hari lalu, Abah kau (Muhyiddin) mengaku kerajaan PN semasa dia PM (Perdana Menteri) banyak berbelanja duit untuk bantu rakyat.
“Sebelum itu, dia pernah kata kerajaan tidak ada banyak duit lagi untuk bantu rakyat setelah berbelanja RM600 bilion dari rizab yang dibina masa Barisan Nasional (BN) dan juga melalui hutang baharu sehingga naik lebih RM320 bilion dari RM686 bilion ke lebih RM1.04 trilion.
“Lepas itu, dia tanya kenapa saya persoalkan isu ini dan mendakwa saya hina penerima bantuan semasa Covid-19,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.
Dalam pada itu Najib turut menempelak Muhyiddin yang mengaku prihatin terhadap masalah yang diwujudkan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu sendiri.
Dakwanya, Pengerusi PN itu turut menyebabkan ekonomi negara tenat dan rakyat susah dengan menambah hutang kerajaan namun berlagak menjadi 'hero' untuk selesaikannya.
“Dari mula pandemik Covid-19, saya antara orang pertama yang cadangkan guna kaedah ‘cash is king’, meminta moratorium pinjaman, meminta pengeluaran khas dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan.
“Biarpun begitu lama tempoh 'lockdown' tapi sebab ia separuh masak, kadar kes Covid serta kematian berbanding saiz penduduk menjadi paling tinggi di ASEAN dan antara paling tinggi dalam dunia.
“Darurat serta PKP bersambung PKP separuh masak antara tempoh paling lama dalam dunia dilaksanakan untuk elak Parlimen berlangsung, begitu lama hingga rakyat hilang mata pencarian, ramai bunuh diri dan naikkan bendera putih,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!