GLC, GLIC penting capai visi negara berpendapatan tinggi 2025
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) amat penting dalam mencapai visi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025.
Menurutnya, pembabitan GLC dalam perkhidmatan asas seperti bekalan tenaga, petrol, air, logistik dan telekomunikasi membolehkan negara mempelbagaikan ekonomi.
"Daripada yang berasaskan pertanian dan sumber asli kepada sektor perindustrian dan berteraskan teknologi seperti semi konduktor.
"Bahkan, ini menjadi benteng kita terhadap krisis kewangan Asia 1997-1998 dan krisis kewangan global pada tahun 2008.
"GLC dan GLIC juga berperanan penting dalam membangun dan mempertahankan kemajuan sosioekonomi negara," katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Terbuka GLC di sini pada Jumaat.
Ismail Sabri berkata, GLC dan GLIC menyumbang kira-kira RM445 bilion atau 25 peratus permodalan pasaran Bursa Malaysia, memberi pekerjaan langsung kepada setengah juta keluarga dan penyumbang terpenting dalam rantaian bekalan negara.
"Entiti-entiti seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional dan Petronas telah banyak membantu negara membina infrastruktur kritikal dan mencapai aspirasinya.
"Contohnya, GLC dan GLIC membantu membangunkan salah satu kumpulan operator lapangan terbang terbesar di dunia iaitu Malaysia Airports, melahirkan syarikat yang menjadi juara serantau seperti Kumpulan Maybank, CIMB dan Axiata dan membangunkan koridor penting negara seperti Iskandar Malaysia," katanya.
Tambah beliau, ia juga penting bagi mencapai aspirasi negara maju melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam pembangunan sosioekonomi negara serta keperluan menyusun semula dasar-dasar kerajaan dalam meningkatkan daya tahan rakyat serta daya saing Malaysia di pentas dunia.
"RMK12 menggambarkan peranan GLC dan GLIC yang diperkukuh dalam usaha memperluas pasaran eksport, membantu komuniti perusahaan dan menceburi sektor strategik yang baharu seperti Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan penggunaan data raya dan analisis data," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!