Teruja, gementar terima vaksin

Aiman Qusyairee (duduk kanan) ditemani ibunya selepas menerima vaksin di Pusat Perubatan Mawar pada Jumaat.
Aiman Qusyairee (duduk kanan) ditemani ibunya selepas menerima vaksin di Pusat Perubatan Mawar pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Gementar bercampur teruja, itu antara perasaan yang dapat digambarkan kebanyakan kanak-kanak yang menerima vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Pusat Perubatan Mawar pada Jumaat.

Aiman Qusyairee Noor Nashriq, 10, ketika ditemui berkata, dia gembira dan tidak berasa takut untuk menerima vaksin Covid-19.

"Saya tak rasa sakit kena cucuk...selepas ini saya boleh jumpa kawan-kawan dan berasa lebih selamat kerana dilindungi daripada wabak Covid-19," katanya.

Turut berkongsi perasaan gembira, Wan Rizq Wan Mohd Satmi, 11, yang menyifatkan dia kini tidak berasa bimbang atau sakit setelah menerima vaksin pada Jumaat.

"Saya sendiri beritahu mak ayah nak suntik vaksin... kawan-kawan kat luar sana jangan takut sebab tak sakit pun dan ini demi kebaikan kita semua," jelasnya.

Dalam pada itu, guru tadika, Normazura Kamaruddin, 40, berkata, dua orang anaknya, Aiman Qusyairee Noor Nashriq, 10, dan Anas Al Qayyeed, 7, sejak dari awal sudah bersemangat untuk menerima vaksin dan bangun seawal jam 6 pagi.

"Saya sudah terangkan kebaikan dan tujuan mengambil vaksin demi melindungi kesihatan. Syukur anak-anak tidak menolak dan sekarang saya rasa lega kerana mereka lebih selamat untuk ke sekolah selepas divaksin," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Mawar, Dr Ong Chiew Ping berkata, seramai 50 kanak-kanak telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera pada hari pertama pembukaan PICKids di sini.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah ini dijangka akan meningkat kepada 200 orang sehari bergantung kepada permintaan.

"Ibu bapa tidak perlu risau memandangkan di Pusat Perubatan Mawar terdapat pegawai perubatan yang memantau kanak-kanak ini jika berlaku kes kecemasan seperti kesukaran bernafas atau alahan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!