Pendaki lelaki cedera diselamatkan dengan helikopter
JERANTUT - Seorang lelaki diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Jumaat selepas mengalami kecederaan patah di bahagian peha ketika turun dari Gunung Tahan pada Khamis.
Akibat kecederaan itu, mangsa yang berusia 59 tahun yang berada di Kem Resket, Gunung Tahan terpaksa dibawa turun menggunakan helikopter.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 12.45 tengah hari, Khamis.
Menurutnya, mangsa diselamatkan oleh Unit Udara JBPM Wilayah Tengah dan ditemui kira-kira jam 10 pagi.
"Operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula jam 9 pagi dan berakhir pada jam 12.15 tengah hari.
"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jerantut untuk rawatan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini operasi menyelamatkan mangsa pada Khamis terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan cuaca berkabus.
Difahamkan, seramai 18 orang menyertai pendakian tersebut bermula di Merapoh dan turun mengikuti laluan Kuala Tahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!