MAFI akan terus perkasa golongan Agropreneur Muda

Ahmad (tengah) bergambar bersama penerima bantuan dan peserta Program Jelajah Dialog Industri Agromakanan 2022 Negeri Johor di Kompleks Pertubuhan Peladang Kecil (PPK) Muar Selatan, di sini pada Rabu.
Ahmad (tengah) bergambar bersama penerima bantuan dan peserta Program Jelajah Dialog Industri Agromakanan 2022 Negeri Johor di Kompleks Pertubuhan Peladang Kecil (PPK) Muar Selatan, di sini pada Rabu.
A
A
A

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) bertekad untuk terus memperkasa golongan Agropreneur Muda.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (I), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, sebagai peneraju sektor pertanian, MAFI juga berperanan untuk terus mentransformasi sektor pertanian ke arah yang lebih moden, dinamik dan kompetitif.

“Kementerian telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kepada golongan muda berumur 40 tahun ke bawah seperti Geran Agropreneur Muda sehingga RM20,000, pakej pembiayaan melalui Agrobank, program latihan teknikal melalui jabatan dan agensi MAFI.

“Malah taklimat dan perkongsian ilmu pertanian juga sentiasa dikongsi melalui siaran langsung Facebook, webinar dan pelbagai lagi platform digunakan golongan muda sebagai salah satu kaedah untuk menyampaikan segala maklumat kepada golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Program Jelajah Dialog Industri Agromakanan 2022 Negeri Johor di Kompleks Pertubuhan Peladang Kecil (PPK) Muar Selatan, di sini pada Rabu.

Ahmad ketika berucap sebelum merasmikan Program Jelajah Dialog Industri Agromakanan 2022 Negeri Johor di Kompleks Pertubuhan Peladang Kecil (PPK) Muar Selatan, di sini pada Rabu.
Ahmad ketika berucap sebelum merasmikan Program Jelajah Dialog Industri Agromakanan 2022 Negeri Johor di Kompleks Pertubuhan Peladang Kecil (PPK) Muar Selatan, di sini pada Rabu.

Program Jelajah Dialog Industri Agromakanan 2022 Negeri Johor menyasarkan seramai 100 orang peserta terdiri daripada kalangan Agropreneur Muda.

Kesemua mereka ini adalah terdiri daripada sektor agromakanan merangkumi subsektor perikanan, tanaman, ternakan dan keseluruhan rantaian agromakanan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad berkata, kementerian juga menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selain menarik lebih ramai usahawan industri asas tani untuk menyertai industri hiliran agromakanan.

“Program Change Upgrade Product (CUP) sebagai contohnya, adalah terbuka kepada usahawan mikro yang terlibat dalam aktiviti pemprosesan produk makanan dan bukan makanan dengan nilai jualan kurang daripada RM300,000 setahun.

“Bantuan disediakan ini juga adalah dalam bentuk geran pemadanan (nilai maksimum geran sebanyak RM60,000) iaitu 70 peratus pembiayaan kerajaan manakala 30 peratus adalah dibiayai oleh usahawan.

“Skop bantuan meliputi kajian pembangunan kualiti produk, reka bentuk pembungkusan dan pelabelan, peningkatan kapasiti pengeluaran, penambahbaikan premis ke arah persijilan dan perolehan papan tanda perniagaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!