Lebih 150 cerun di Selangor berisiko runtuh
AMPANG - Kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini tidak termasuk dalam senarai lebih 150 cerun yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi runtuh di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pihaknya tidak mengesan sebarang indikasi seperti rekahan atau pergerakan tanah di lokasi berkenaan.
“Majoriti lokasi cerun itu dikenal pasti sebagai kawasan berisiko dan didapati tidak stabil dan tidak selamat pada Disember lalu selepas banjir besar berlaku di Selangor.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak dikesan di Taman Bukit Permai 2.
“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan mengadakan perbincangan bagi mengambil langkah susulan untuk memastikan insiden sama tidak berulang, selain meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk menjalankan pemantauan dengan lebih meluas,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian pada Jumaat.
Mengulas mengenai kejadian lapan bongkah batu terjatuh di kawasan berhampiran, Ir Izham berkata insiden tersebut tidak semestinya menjadi punca kejadian.
“Perkara itu perlu dikaji daripada aspek geoteknikal. Macam kejadian di Taman Bukit Permai, tiada keretakan awal.
“Kita tangani kes cerun mengikut kategori berbahaya yang memerlukan kos tinggi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!