PRN Johor: Pengundi mula pulang untuk mengundi
JOHOR BAHRU - Menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, platform bas Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) di Larkin Sentral di sini dipenuhi penumpang yang pulang ke tanah air dari Singapura antaranya mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Muhammad Hazeq Amir Aziz, 26, yang bekerja sebagai penghantar surat di republik jiran itu adalah antara mereka yang pulang untuk mengundi dan pada masa yang sama melepaskan rindunya terhadap tanah air tercinta dan keluarganya di Mersing.
"Saya dah dua tahun berada di Singapura dan rasa bertuah sebab dapat tiket untuk balik ke Malaysia hari ini, agak susah nak dapat tiket sebenarnya,
"Niat saya memang balik untuk mengundi dan guna kesempatan ini nak jumpa keluarga yang telah dua tahun saya tidak jumpa. Memang dah menjadi tanggungjawab kita untuk mengundi, saya teruja untuk mengundi buat pertama kali,” katanya kepada Bernama di Larkin Sentral pada Jumaat.
Lee Chen Seng, 36, turut menggunakan kesempatan pulang mengundi pada PRN Johor kali ini untuk bersatu semula dengan keluarganya setelah dua tahun tidak dapat pulang akibat penutupan sempadan negara.
"Mengundi itu memang tanggungjawab kita, semua orang perlu keluar mengundi. Saya pulang kerana bagi saya setiap undian itu penting,” katanya yang bekerja sebagai pengurus kilang di Singapura.
Muhammad Hazeq Amir dan Chen Seng sependapat bahawa perjalanan mereka merentasi Tambak Johor berjalan lancar dan proses yang ditetapkan melalui VTL adalah mudah.
Malaysia dan Singapura melancarkan VTL-Darat pada 29 November 2021 bertujuan melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen bertujuan membantu mereka yang terpisah daripada orang tersayang akibat pandemik untuk kembali ke Malaysia.
Esok adalah hari pengundian bagi PRN Johor. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!