Lotus's Malaysia: Penjenamaan semula 62 stor
Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) pada Khamis melancarkan penjenamaan semula pasar raya besarnya peringkat nasional selepas berjaya melengkapkan penjenamaan semula 62 bekas stor Tesco.
Lebih istimewa, rangkaian pasar raya besar terkemuka negara itu turut memperkenalkan penggunaan platform teknologinya untuk melahirkan keceriaan ‘SMART’ (pintar) pada setiap hari kepada pengguna.
Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah berkata, pihaknya mewujudkan platform baharu dalam talian yang menggabungkan program kesetiaan dan platform dalam talian Lotus’s ke dalam satu aplikasi seterusnya memberikan pengguna pengalaman ‘phygital’ yang menarik dalam membeli-belah.
“Adalah menjadi visi kami untuk menceriakan para pelanggan dengan memberikan kemudahan yang lebih baik dan pengalaman membeli-belah yang diperibadikan.
“Dengan menggabungkan kedua-dua program kesetiaan MyLotus’s dan platform dalam talian Lotus’s, pelanggan boleh membeli-belah dengan kami dalam talian dan serta-merta mengumpul mata serta menebus ganjaran mereka menggunakan Aplikasi Lotus’s yang baharu ini,” katanya.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dam Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Kenneth menjelaskan, dengan kemajuan teknologi maklumat, Lotus’s akan lebih dilengkapi dengan data untuk memahami keperluan pelanggan.
“Lotus’s juga menyesuaikan promosi dan ganjaran kepada individu walaupun mereka tinggal dalam sebuah rumah yang sama untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih diperibadikan,” ujarnya.
Program kesetiaan MyLotus’s itu juga boleh dinikmati oleh pelanggan yang membeli-belah di stor fizikal mereka.
Lotus’s pada masa ini juga mempunyai Aplikasi Scan & Shop untuk membolehkan pelanggan menjejaki perbelanjaan dan mengurus belanjawan mereka.
Lorong khusus untuk pembeli Scan & Shop juga disediakan untuk mempercepatkan proses pembayaran dan memendekkan masa beratur.
Pantas dan selamat
Menurutnya, kaunter tersebut menerima pembayaran kad debit dan kredit serta e-dompet seperti Boost, kiplePay, GrabPay, Alipay, MCash, MAE, ShopeePay, Touch ‘n Go dan UnionPay.
Selain itu, katanya, Lotus’s juga mempunyai aspirasi untuk menjadi peruncit yang mengamalkan kelestarian melalui semangat komuniti #KitakanJiran dan usaha alam sekitar.
“Lotus’s sentiasa bersedia untuk membantu komuniti-komuniti yang kurang bernasib baik dengan membekalkan makanan dan barangan keperluan kepada keluarga dan individu B40 di seluruh negara termasuk mereka yang terjejas akibat banjir baru-baru ini,” jelasnya.
Ujar beliau, daripada jumlah tersebut sub-sektor peruncitan telah mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 3.5 peratus kepada RM48.5 bilion.
“Justeru itu bagi merancakkan lagi pertumbuhan sektor ini, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) telah menggariskan dasar-dasar untuk menggalakkan aktiviti ekonomi yang bernilai tambah dan berkemahiran tinggi serta dipacu oleh teknologi termaju.
“Salah satu inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ialah Program Penggalakan Sektor Peruncitan Berskala Besar untuk melabur dalam teknologi baru dan digitalisasi bertujuan bagi meningkatkan lagi nilai tambah dan kecekapan sektor ini,” katanya.
Dalam pada itu, Lotus’s baru-baru ini turut memeterai Perjanjian Pembelian Kuasa keduanya dengan Kumpulan NEFIN untuk memasang ‘photovoltaic’ solar panel (PV) di atas bumbung 12 lagi stor dan salah satu pusat pengedarannya di Simpang Pulai, Perak, menjadikan 28 dari jumlah fasiliti Lotus’s yang beroperasi dengan menggunakan tenaga bersih.
Melalui pemasangan berkenaan yang dijangka selesai pada Ogos 2022, Lotus’s dapat mengurangkan pelepasan karbonnya kira-kira 14,461 tan setiap tahun.
Lotus’s buat pertama kalinya diperkenalkan di Malaysia pada Februari 2021 dengan transformasi tiga bekas stor Tesco.
Awal tahun ini, syarikat itu juga telah memperkenalkan dua lagi stor baharu iaitu Lotus’s Pulai Hartamas di Ipoh, Perak dan Lotus’s Bandar Puteri Jaya di Sungai Petani, Kedah.
Lotus’s kini memiliki 64 buah stor yang sedang beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!