MAFI pertingkat keupayaan sektor agromakanan
PAGOH - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) akan terus memberi penekanan kepada inisiatif meningkatkan keupayaan sektor agromakanan sebagai suatu sektor mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, usaha itu supaya dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta meningkatkan daya tahan sistem makanan secara menyeluruh.
“Strategi dan inisiatif di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 akan terus dilaksana bagi mencapai sasaran tahap sekuriti makanan dan mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa,” katanya ketika program MAFI dan Majlis Pemulihan Negara Bersama Komuniti Agromakanan Johor di Kompleks Sukan Pagoh, pada Jumaat.
Hadir sama dalam program tersebut, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian dan Industri Makanan (Fama), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah Fama, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.
Dalam pada itu, Ronald berkata, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menunjukkan impak positif apabila ekonomi Malaysia kini beransur pulih dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih luas.
Katanya, kerajaan sewaktu pimpinan Muhyiddin telah berusaha sedaya upaya bagi memastikan wujud keseimbangan antara kehidupan dan keperluan melindungi nyawa di samping menjamin kesejahteraan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
Ronald berkata, kejayaan pada hari ini menangani pandemik Covid-19 termasuk program vaksinasi adalah hasil kepimpinan Muhyiddin.
“Sejak Covid-19 melanda negara, kerajaan di bawah kepimpinan Muhyiddin juga telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang berjumlah lebih RM530 bilion bagi memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
“Pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini termasuk Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana, Kita Prihatin, Permai, Pemerkasa, Pemerkasa+ dan juga Pemulih.
“Pada masa sama, sektor agromakanan diberi keutamaan sebagai satu perkhidmatan perlu bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan negara,” katanya.
Tambah beliau, Dana Khas Persatuan di bawah Prihatin sehingga hingga RM200,000 juga diberikan kepada setiap Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan Persatuan Peladang Kawasan (PPK).
“Johor juga tidak ketinggalan, dua PPK di Pagoh sahaja iaitu PPK Pagoh dan PPK Gambir masing-masing turut menerima peruntukan lebih RM1 juta antara tahun 2020 dan 2021 di bawah Perdana Menteri Kelapan,” ujarnya.
Dalam program tersebut, turut disampaikan sumbangan Bakul Makanan MAFI Prihatin oleh Muhyiddin kepada 500 orang penerima komuniti agromakanan di Johor yang terkesan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!