PRN Johor: 140 laporan polis sepanjang kempen
BATU PAHAT - Sebanyak 140 laporan polis membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula 26 Februari hingga 10 Mac.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut beliau, kes tertinggi tersebut membabitkan khianat kepada poster, banner parti politik yang melibatkan 13 kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, antara kesalahan lain yang dikesan melibatkan ceramah tanpa permit dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) (tiga); mencuri bendera parti (dua); berkempen tanpa mematuhi batasannya (dua) dan hantaran berbaur fitnah (dua).
““Masing-masing satu kesalahan khianat dengan api; melakukan kecederaan; dan video mengandungi unsur provokasi politik di media sosia,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Amanat kepada Pegawai dan Anggota Polis sempena PRN Johor, di Dewan Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, pada Jumaat.
Beliau berkata, sebanyak 2,977 permit telah diluluskan dan sebanyak 12 telah ditolak di seluruh negeri Johor oleh pihak polis.
Tambah Kamarul, sementara itu sebanyak 17 kawasan panas telah dikenalpasti yang menjadi tumpuan pada PRN kali ini.
Pada masa sama, beliau berkata, 10,988 pegawai dan anggota PDRM terdiri daripada seramai 5,594 kontinjen Johor dan 5,394 daripada bantuan luar.
“Sebanyak 112 Pasukan Cantas PRN Johor dengan kekuatan seramai 448 pegawai dan anggota PDRM telah diatur gerak di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi menjaga keselamatan, memastikan kelancaran PRN Johor semasa proses pengundian esok.
“Selain itu, sebanyak 1,021 pusat mengundi dengan 4,637 saluran disediakan bagi hari mengundi esok,” kata beliau.
Tambah Kamarul, mereka tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi kerana pihak polis akan menjamin keselamatan sepanjang proses pengundian.
“Begitu juga calon yang bertanding mestilah mengikut SOP yang telah ditetapkan dan boleh berkempen hingga jam 12 malam ini.
“Sebelum menunaikan tanggungjawab mengundi pastikan membuat saringan Covid-19 terlebih dahulu bagi memastikan tahap kesihatan bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!