Polis Selangor tumpaskan sindiket pinjaman wang tanpa lesen

Serbuan dijalankan ke atas sebuah premis dipercayai menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen di Jalan Pasir Emas, Sungai Chua,Kajang pada Khamis.
Serbuan dijalankan ke atas sebuah premis dipercayai menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen di Jalan Pasir Emas, Sungai Chua,Kajang pada Khamis.
A
A
A

KAJANG - Seramai 18 individu dipercayai terlibat dalam sindiket pinjaman wang tanpa lesen diberkas menerusi serbuan di sebuah premis di Jalan Pasir Emas, Sungai Chua di sini pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota dan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

"Menerusi serbuan yang dijalankan pada jam 10.20 pagi itu, seramai enam lelaki dan 12 wanita warga tempatan telah diberkas.

"Kesemua suspek diberkas berumur antara 18 tahun hingga 52 tahun dipercayai menjalankan kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, siasatan mendapati sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen terbabit telah beroperasi lebih kurang enam bulan.

"Hasil pemeriksaan dijalankan telah merampas barangan dan dokumen yang digunakan untuk menjalankan kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

"Antara yang dirampas melibatkan lima unit komputer, lima monitor, 17 fail mengandungi dokumen peminjam, 170 keping kad ATM, tujuh telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM 21,598," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400) kerana menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang pinjaman daripada mana-mana pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

"Selain itu, orang ramai turut diingatkan agar tidak bekerja dan membantu dalam aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen kerana ianya menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!