Pan-gon tak sabar nantikan gema pemain ke-12 Harimau Malaya
PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui tidak sabar menantikan sorakan padu para pemain ke-12 Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila kempen Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 menyingkap tirai pada Jun depan.
Kata Pan-gon, dia beberapa kali berada di stadium tersebut sebelum ini ketika pasukan lawan menentang skuad Harimau Malaya, namun senario kali ini berbeza apabila dia mengendalikan skuad negara.
“Saya pernah beberapa kali berada di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mendapati ia adalah stadium yang besar, namun kali ini saya dapati stadium ini juga sangat bersih yang memberikan gambaran sudah bersedia sebagai venue tuan rumah Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi mempersiapkan stadium ini yang turut dijadikan venue untuk latihan skuad Harimau Malaya, sekali gus membuatkan saya tidak sabar menantikan aksi skuad negara di sini.
“Selain itu saya juga menantikan sorakan padu daripada penyokong, selain mahu menyaksikan pemain bersatu dan berjuang atas nama Malaysia. Saya tidak sabar menanti hari berkenaan,” katanya pada Khamis.
Pan-gon berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat di Stadium Nasional Bukit Jalil, mulai 14 Mac hingga 20 Mac ini.
Pada sidang akhbar itu, Pan-gon mengumumkan senarai 30 pemain termasuk 10 pemain dalam senarai bersedia bagi mengikuti kem latihan pusat menjelang aksi persahabatan di Singapura hujung bulan ini.
Skuad Harimau Malaya dijadualkan berlepas ke Singapura pada 22 Mac sebelum berdepan Filipina pada 23 Mac, Singapura (26 Mac) diikuti perlawanan menentang kelab Liga Singapura (Liga-S), Albirex Niigata FC pada 28 Mac.
Sementara itu, mengenai pemilihan pemain kali ini, Pan-gon berkata, ia dibuat berdasarkan kepada prestasi semasa masing-masing ketika ini.
Malah, Pan-gon juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pemain-pemain lain selepas ini.
“Pemilihan pemain adalah berdasarkan kepada kesesuaian ketika ini. Kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa depan. Lagi pun ada pemain yang cedera dan sebab itu kita memanggil pemain-pemain yang bersesuaian ketika ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!