28 pengunjung bar dikompaun langgar SOP
KUALA LUMPUR - Seramai 28 pengunjung di sebuah bar restoran di Bangsar di sini masing-masing dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 pada Jumaat.
Selain pelanggan, seorang pengurus premis hiburan itu turut dikenakan tindakan sama susulan pemeriksaan dijalankan sepasukan anggota daripada Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur pada jam 11.15 malam.
Ketua JSJ Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 15 lelaki dan 13 wanita tempatan berusia 23 hingga 58 tahun.
"Kita turut merampas peralatan audio, resit perniagaan dan minuman keras," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Habibi berkata, pihaknya pernah mengeluarkan kompaun terhadap pengunjung dan pengurus premis tersebut pada Februari lalu kerana melakukan kesalahan sama.
"Kes disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992," katanya.
Habibi turut menasihati orang ramai supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.
"Operasi sebegini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha mengawal penularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!