Suri rumah temui janin ditanam berhampiran rumah
SABAK BERNAM - Seorang suri rumah menemui janin tidak cukup sifat dalam sebuah beg yang ditanam kira-kira 15 meter dari rumahnya di Jalan Parit Satu Barat di sini pada Jumaat.
Kejadian jam 8.30 pagi itu disedari Siti Rodziah Abd Majid, 54, ketika sedang menyiram pokok bunga dan memberi makanan kepada kucing di laman rumahnya.
Menurutnya, semasa melakukan kerja rutin itu, dia ternampak kesan korekan berhampiran pokok pisang rumahnya.
"Saya rasa curiga kerana terdapat timbunan tanah yang sudah dikorek dan ditimbus semula," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Siti Rodziah memberitahu, curiga dengan keadaan itu, dia kemudian meminta anak lelakinya, Muhammad Fahmi Rosziman, 16, mengorek semula tanah itu.
"Saya hanya mampu istighfar panjang apabila melihat janin bayi berada dalam sebuah beg.
"Saya panik melihat (janin) dalam keadaan sebegitu dan terus membuat laporan polis," ujarnya.
Dia turut memberitahu tidak menyedari kejadian tersebut walaupun tidak dapat melelapkan mata pada malam sebelum kejadian sehingga awal pagi.
"Pada malam sebelum kejadian, saya memang susah hendak tidur sehingga jam 2 pagi kerana mengalami sakit kepala.
"Saya juga tidak mendengar bunyi mencurigakan kecuali babi hutan atau anjing liar di laman rumah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan penemuan janin berdekatan rumah wanita tersebut.
Beliau berkata, janin bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.
"Hasil pemeriksaan mendapati janin itu belum cukup sifat dan dianggarkan baru berusia 20 minggu dalam kandungan," katanya.
Berikutan kejadian itu, katanya, pihaknya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!