Terbuka Jerman: Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke separuh akhir

Pemain Beregu Lelaki, Goh Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin. - Foto Bernama
Pemain Beregu Lelaki, Goh Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin. - Foto Bernama
A
A
A

PASANGAN beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terbukti mereka lebih unggul berbanding rakan senegara, pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dalam aksi suku akhir Terbuka Jerman 2022, malam Jumaat.

Ini berikutan gandingan bukan pilihan kejohanan, Sze Fei-Nur Izzuddin menewaskan Yew Sin-Ee Yi, pilihan keenam kejohanan itu, untuk menempah tempat ke separuh akhir pada Sabtu selepas mengharungi pertarungan sengit sehingga ‘rubber set’ yang berlangsung selama satu jam 15 minit.

Perlawanan yang diadakan di Westenergie Sporthalle, Mulheim an der Ruhr itu menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin bermula garang apabila mereka memenangi perlawanan set pertama, 21-15.

Bagaimanapun, Yew Sin-Ee Yi, bangkit memberi tentangan dengan kemenangan 22-20 sebelum Sze Fei-Nur Izzuddin mengesahkan tempat ke separuh akhir, juga dengan kelebihan dua mata, 21-19.

Dengan kemenangan ini, Sze Fei-Nur Izzuddin, ranking ke-17 terbaik dunia akan menentang pasangan beregu He Ji Ting-Zhu Hao Dong selepas gandingan China itu menewaskan beregu dari India, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala dengan 21-11, 23-21.

Sementara itu, beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal mara setelah tewas di tangan pilihan utama dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, dengan 11-21, 18-21, pada peringkat suku akhir.

Selain Sze Fei-Nur Izzuddin, Malaysia akan mempunyai seorang lagi wakil pada perlawanan separuh akhir selepas pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menewaskan Zhao Jun Peng dari China, 21-12, 21-18.

Zii Jia akan bertemu Kunlavut Vitidsarn dair Thailand untuk penentuan tiket ke pentas final pada Ahad. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!