UUM perkenal sistem e-Konvo guna RFID
ALOR SETAR - Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif memperkenalkan sistem e-Konvo berasaskan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) pada Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM yang akan berlangsung selama seminggu bermula Ahad di Dewan Mu'adzam Shah, Sintok.
Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pengenalan sistem baharu buat julung kali itu seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan membantu mengawal penularan Covid-19 sepanjang majlis berlangsung.
Menurut beliau, RFID mempunyai dua sistem utama iaitu Sistem Pengurusan Jubah dan Sistem Panggilan Nama Graduan.
"Penggunaan RFID ini juga dapat mengurangkan sentuhan dan interaksi secara langsung dalam jarak yang dekat antara graduan.
"Tag RFID bersaiz kecil yang memiliki ketahanan tinggi dan dapat digunakan dalam jangka masa lama akan disematkan pada semua jubah graduan bagi membolehkan jubah disewa dapat dikesan pengimbas semasa pengambilan dan pemulangan jubah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dr Haim memberitahu, teknologi ini membolehkan pengurusan jubah menjadi lebih cekap serta dapat menjana laporan inventori jubah dengan cepat dan efisien.
"Bagi sistem Panggilan Nama Graduan, tag RFID yang dilekatkan pada jubah graduan akan berfungsi dengan imbasan dikesan pengimbas dan nama graduan diumumkan secara automatik semasa graduan berada di pentas," katanya.
Tambah Dr Haim, beliau bangga kerana UUMIT mengambil inisiatif membangunkan teknologi tersebut yang akan digunakan buat pertama kali dalam majlis konvokesyen ini sebagai satu usaha universiti untuk mengawal penularan wabak Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Teknologi ini mengurangkan tenaga kerja selain mengurangkan risiko kehilangan jubah dan meminimumkan kesilapan pengumuman identiti graduan semasa menerima ijazah,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!