PRN Johor: SOP hari mengundi dilaksana dengan baik

Hishammuddin beramah mesra bersama pengundi ketika tiba di Pusat Mengundi Sekolah Agama Taman Sri Lambak untuk mengundi sempena PRN Johor pada Sabtu.
Hishammuddin beramah mesra bersama pengundi ketika tiba di Pusat Mengundi Sekolah Agama Taman Sri Lambak untuk mengundi sempena PRN Johor pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - Prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor khususnya pada hari mengundi setakat ini dilaporkan dilaksanakan dengan baik, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sangat tegas terhadap SOP yang ditetapkan dalam mengawal penularan Covid-19.

"SOP setakat hari ini ok... mereka (petugas SPR) lebih peka dan tegas,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di Sekolah Agama Taman Sri Lambak di sini pada Sabtu.

Hishammuddin juga yakin petugas SPR akan mengawasi, mematuhi dan melaksanakan semua SOP PRN Johor terhadap pengundi yang hadir menjalankan kewajipan mereka pada Sabtu.

Selain itu, Ahli Parlimen Sembrong itu juga melahirkan rasa kesyukuran susulan tiada sebarang laporan mengenai insiden yang tidak diingini diterima setakat hari terakhir kempen PRN Johor pada Jumaat, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh dan Kahang.

Beliau juga mengakui tidak ramai pengundi yang pulang untuk mengundi seperti sebelum ini, namun berkata, ia merupakan hak dan pilihan masing-masing.

Beliau dan isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah sebelum itu selesai mengundi bagi memilih wakil rakyat bagi DUN Kahang di sekolah itu pada jam 11 pagi.

Hishammuddin yang mengundi di saluran dua sempat bergurau serta beramah mesra dengan pengundi yang hadir di lokasi berkenaan termasuk merakamkan foto selfie bersama pengundi.

Turut bersama Hishammuddin, mengundi di lokasi berkenaan ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Kahang, R Vidyananthan.

Artikel Berkaitan:

Rakyat Johor pada Sabtu mengundi bagi memilih wakil rakyat mereka di 56 kawasan DUN, yang melibatkan 239 calon daripada 15 parti politik yang bertanding. - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!