Bawa anak autisme tunai tanggungjawab mengundi satu tugas besar

Chiew Lian bersama anaknya, Wen Jian selesai mengundi pada PRN Johor di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Foon Yew, Stulang Laut pada Sabtu. - Foto Bernama
Chiew Lian bersama anaknya, Wen Jian selesai mengundi pada PRN Johor di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Foon Yew, Stulang Laut pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Membawa anak yang menghidap autisme untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu, disifatkan sebagai tugas yang besar buat seorang ibu bagi memastikan anaknya itu turut menunaikan tanggungjawabnya memilih wakil rakyat.

Tan Chiew Lian, 59, berkata, beliau bersama anak lelakinya, Tee Wen Jian yang berusia 32 tahun itu mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang di pusat mengundi Sekolah Menengah Foon Yew, Stulang Laut di sini.

Chiew Lian yang juga guru di sekolah itu sejak 26 tahun lepas berkata, proses pengundian anak keduanya itu berjalan dengan lancar, meskipun ini merupakan pengalaman pertama kalinya mengundi.

"Dia tahu (cara mengundi), sebelum ini saya sudah jelaskan dan beritahu dia kalau ada nampak (apa-apa simbol pada kertas mengundi), orang itu akan jadi wakil rakyat. Dia juga mengundi sendiri, tanpa saya dan orang lain jadi wakil,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat mengundi itu.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menjelaskan walaupun anaknya itu sukar untuk bertutur atau berinteraksi, dia bersemangat untuk bangun awal dan memakai pakaian yang kemas untuk pergi ke pusat mengundi.

Chiew Lian pada masa sama mengharapkan agar mana-mana calon yang menang di DUN itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, ikhlas dan amanah.

Sementara itu, pesara kerajaan Abdul Latip Jaappan, 69, berkata, biarpun bertongkat sejak enam bulan lepas berikutan mengalami ‘slip disc’, ia tidak menghalangnya untuk mengundi, malah turut dibantu dengan kerusi roda ke saluran ditetapkan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bapa kepada seorang cahaya mata itu mengundi bersama isterinya Fauziah Ismail, 61, di Sekolah Menengah Foon Yew.

Tinjauan Bernama di pusat mengundi itu mendapati keadaan cuaca pagi tadi cerah dan orang ramai dilihat berbaris di luar pagar pusat mengundi itu setengah jam awal, sebelum diarahkan petugas penunjuk arah ke bilik menunggu untuk mengundi yang bermula jam 8 pagi.

Artikel Berkaitan:

Di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 1, Pasir Gudang bagi DUN Permas pula, usia dan pergerakan yang terhad tidak menghalang warga emas Ahmad Taha @ Idris Omar untuk mengundi pada Sabtu.

Ahmad yang berusia 78 tahun diiringi oleh ahli keluarga tiba di pusat mengundi dengan berkerusi roda.

"Saya memang tidak akan melepaskan peluang mengundi ini melainkan keadaan sakit dan uzur. Walaupun lutut dan kaki saya masih sakit, saya tetap hadir mengundi juga bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat,” katanya.

Seorang penyelia tapak, Hafiz Mahyiddin, 34, tetap hadir ke pusat mengundi walaupun masih bercuti sakit akibat patah kaki selepas terbabit dalam kemalangan bulan lepas.

"Hari ini saya ditemani isteri turun mengundi. Ini kali kedua mengundi dan saya tidak mahu terlepas peluang ini walaupun kaki saya belum pulih sepenuhnya dan perlu menjalani fisioterapi,” katanya. - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!