Penunggang motosikal maut dilanggar pemandu mabuk
KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas akibat dilanggar dari belakang oleh seorang pemandu mabuk di Jalan Kuching di sini awal pagi Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kejadian jam 1.10 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak Ex90 dilanggar oleh sebuah Perodua Myvi di laluan sama.
"Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal terbabit telah terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar tembok penghadang jalan.
"Mangsa seorang lelaki berumur 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta seorang lelaki berumur 32 tahun mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, ujian pernafasan terhadap pemandu kereta terbabit mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan.
Katanya, suspek direman tiga hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!