'Kami reda jika dia terlantar sepanjang hayat'

Mashor dan Hanitah merapikan Fendy yang terlantar akibat kemalangan. (Gambar kecil: Nurfazlin)
Mashor dan Hanitah merapikan Fendy yang terlantar akibat kemalangan. (Gambar kecil: Nurfazlin)
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Keluarga pemuda mangsa kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan Kulaijaya reda jika dia ditakdirkan terlantar sepanjang hayat akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Kakak sulong Fendy Mashor, 20, Nurfazlin Mashor, 34, berkata, mereka sekeluarga bagaimanapun akan menjaga dan mengambil berat kesihatan Fendy.

"Kami reda sekiranya ALLAH takdirkan adik sebegini sehingga akhir hayatnya. Kami tetap menjaganya walau dalam apa keadaan sekalipun kerana dia darah daging kami," katanya.

Nurfazlin turut berkongsi kejadian yang berlaku pada Januari lepas ketika anak bongsu daripada enam beradik itu dalam perjalanan pulang dari Johor ke rumah ibu bapanya di Felda Palong 12, Jempol, Negeri Sembilan.

Menurutnya, Fendy yang menunggang motosikal jenis Yahama 135LC secara sendirian bagaimanapun dipercayai hilang kawalan kerana hujan dan jalan agak licin sebelum tercampak di bahu jalan mengakibatkan kecederaan parah di kepalanya.

"Adik hilang banyak darah kerana kepalanya terhentak pada batu selepas topi keledarnya tercabut malah orang awam yang berada di lokasi mendakwa keadaannya juga parah.

"Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah,Johor Bahru dan tempurung kepala di bahagian kiri terpaksa dikeluarkan selain tulang pipi kirinya pecah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Bukit Kristal disini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Nurfazlin berkata, doktor turut memaklumkan mata kiri adiknya mengalami kerosakan pada saraf malah berisiko akan buta.

Tambahnya, Fendy menerima rawatan di hospital berkenaan kira-kira dua minggu sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Fendy kini terlantar selepas terlibat kemalangan pada Januari lepas.
Fendy kini terlantar selepas terlibat kemalangan pada Januari lepas.

Nurfazlin memberitahu, kini dia serta bapa (Mashor Pardi, 58) dan ibu (Hanitah Hussin, 52) menjaga Fendy kerana hospital juga lebih dekat jika berlaku kecemasan.

"Keadaan adik pula hanya terlantar, dia tidak boleh bergerak malah tidak memberikan sebarang reaksi apabila dipanggil atau disentuh. Kami perlu memberi perhatian sepenuhnya dan berharap ada keajaiban untuk dia kembali sembuh.

Pada Khamis, Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang melawat Fendy.

Nurfazlin bersyukur apabila ramai pihak tampil menghulurkan bantuan antaranya Baitulmal Negeri Sembilan yang menyumbang bekalan susu khas selama setahun dan lampin pakai buang serta bakul makanan daripada ADUN Kepayang.

Dalam pada itu, Nurfazlin berkata, adiknya itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan pada 21 Mac ini sebelum menjalani pembedahan bagi memasukkan semula tempurung kepala sekiranya keadaan kesihatannya stabil.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga Fendy boleh menghubungi Nurfazlin di talian 017-2249176.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!