Sebak lihat anak terlantar kaku
PONTIAN - Hati mana yang tidak tersentuh melihat anak yang membantu keluarga mencari rezeki, kini terlantar kaku di atas katil selepas terlibat kemalangan ketika hendak ke tempat kerja pada Februari lalu.
Mohd Aiman Daniel Shaifulizan, 18, sebelum ini melakukan dua pekerjaan iaitu pengawal keselamatan pada waktu malam dan mengambil upah bekerja di kebun kelapa sawit pada sebelah siang.
Akibat kemalangan itu, anak ketiga dari empat beradik ini terpaksa melalui pembedahan mengeluarkan darah dan separuh dari tempurung kepala di sebelah kiri dibuang.
Aiman yang kini berada dalam keadaan separa koma, dijaga rapi ibu Nor Azizah Alias, 46, dan bapanya, Shaifulizan Ahman, 49, di rumah mereka di Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong.
Shaifulizan berkata, dia masih tidak dapat melupakan detik hitam kemalangan melibatkan anaknya itu kerana lokasi nahas hanya kira-kira 1km dari rumah mereka.
"Tidak sampai 10 minit selepas Aiman keluar dari rumah ke tempat kerjanya di sebuah taman perumahan di bandar Pontian, saya diberitahu orang kampung dia terlibat kemalangan.
"Aiman dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kerana parah di kepala.
"Selepas pembedahan di kepala, Aiman dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu," katanya.
Bagi Shaifulizan, biarpun Aiman tidak mampu bercakap dan hanya menitiskan air mata, itu sudah cukup memadai buat dirinya melihat anak kesayangan terus berada di sisi.
Bagaimanapun dia risau akan perbelanjaan keperluan Aiman yang agak tinggi terutama susu formula khas satu-satunya sumber makanan anaknya itu.
"Aiman bergantung sepenuhnya kepada susu dimasukkan melalui tiub khas ke dalam hidungnya.
"Satu tin susu formula khas seberat 850 gram berharga RM80. Satu tin dapat bertahan untuk dua hari sahaja. Dalam sebulan sebanyak 15 tin susu diperlukan," katanya.
Jelasnya, dengan upah memetik kelapa sebagai sumber pendapatan, agak sukar untuknya menyediakan wang bagi membeli susu formula tersebut.
"Anak sulung, Mohd Alip Haikal, 24, bekerja di kebun kelapa sawit, sudah berkeluarga.
"Anak kedua, Nur Nadratul Fatishah, 21, bekerja sebagai pembantu kedai di bandar Pontian.
"Mereka berdua ada bantu. Dalam sebulan lebih RM2,000 diperlukan Aiman untuk susu, lampin pakai buang, ubat, tiub dan sewa ambulan untuk bawanya ke hospital," katanya.
Jelasnya, Baitulmal ada menghulurkan bantuan dan dia kini dalam proses permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, badan sukarelawan Amal Team Johor memberikan bantuan katil khas pesakit kepada Aiman melalui wakilnya Nurul Azwana Nordin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!