BN jangan terlalu bangga menang PRN Johor: Mukhriz

Mukhriz - Foto Bernama
Mukhriz - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya terlalu berbangga dengan kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang disumbangkan daripada peratusan mengundi yang rendah.

Presiden Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana kira-kira 40 peratus tidak keluar mengundi pada PRN Johor dan sebahagian daripada pengundi juga tidak menyokong mereka.

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, walaupun Pejuang tidak memenangi satu daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, pihaknya tetap berpuas hati dan menerima keputusan tersebut dengan lapang dada.

"Kita merasakan keputusan ini mengecewakan, walaupun begitu kita terima dengan sepenuh hati dengan keputusan yang dibuat rakyat Johor.

"Pada waktu yang sama terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Johor khususnya yang mengundi calon kami, begitu juga ucapan terima kasih kepada jentera parti dari dalam dan luar Johor," katanya.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata demikian pada sidang media di Taman Seri Setanggi di sini pada malam Sabtu.

Pada PRN Johor, Pejuang bertanding 42 kerusi DUN dengan majoritinya di kawasan Melayu terutama di penempatan Felda.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, penyertaan Pejuang dalam PRN Johor adalah satu permulaan dalam memperkenalkan parti itu kepada rakyat dan gerak kerja untuk persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 akan dilakukan bermula Ahad.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Pejuang tidak sampai tujuh bulan didaftarkan dan masih belum dikenali termasuk logo parti itu yang baru lima bulan diperkenalkan serta tempoh itu singkat untuk rakyat mengenalinya.

Walaupun begitu, beliau mengakui Pejuang tetap mempunyai kelemahan dan akan memperbaikinya pada masa depan sekali gus tidak melunturkan semangat mereka terutama teras perjuangan dalam memerangi rasuah.

"Kita harap keputusan ini akan menjadikan kita lebih cekal pada masa depan. Kita akan lihat mana-mana faktor yang perlu dibaiki dan kita akan terus maju ke depan," katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya akan menyusun strategi dalam menambat hati rakyat kerana banyak perkara yang dapat dipelajari dalam PRN Johor.

"Kita tidak masuk PRN ini sebagai satu medan ujian atau populariti. Sebenarnya perjuangan kami dari asal adalah untuk menang sebanyak mungkin kerusi ditandingi dan kalau diizinkan akan tubuh kerajaan namun tidak menjadi, kita ambil ini sebagai iktibar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!