'Dunia menanti hukuman Brenton Tarrant!'

No Image Caption
A
A
A

SEJAK Jumaat lepas, media tempatan dan luar negara sibuk memaparkan berita insiden tembakan membunuh 50 umat Islam yang sedang bersiap untuk menunaikan Solat Jumaat di Christchurch, New Zealand.

Sinar Harian tidak terkecuali, penulis juga. Setiap hari kami menelaah laporan media antarabangsa berhubung kes berkenaan, kami terjemahkannya sebaik mungkin untuk tatapan pembaca di Malaysia.

Dari satu berita ke satu berita, perasaan benci, marah, geram dengan pelakunya, pengganas kulit putih bernama Brenton Tarrant menerjah jiwa. Tak tercapai dek akal bagaimana dia sanggup berbuat demikian kepada 50 individu yang tidak bersalah.

Dengan tidak semena-mena, lagu ‘Hilang Naluri’ dendangan penyanyi Indonesia, Once bermain di fikiran. Bukan semua lirik namun hanyalah pada ketika Once melantunkan “Matilah kau...”.

Mungkin dek kerana amarah, penulis merasakan molek benar jika lagu itu ditujukan kepada lelaki kulit putih psiko itu yang telah membunuh puluhan nyawa manusia di sana.

Begitupun, liriknya perlu ditukar. Beginilah bunyinya jika ikutkan hati penulis yang masih marah, geram, benci dengan kekejamannya:

“Matilah kau...

Di dalam penjaramu (hatiku)

Artikel Berkaitan:

Bawa pergi saja dirimu,

Sampai ke dasar lautan.

Matilah kau...

Bersama benciku (cintaku)

Banyak berharaplah dirimu

Semoga tidak (dapat) bahagia

Berharaplah...”

(Dalam kurungan adalah lirik asal)

Sejujurnya, tindakannya tidak langsung boleh diterima. Sikap ‘double standard’ media Barat sudah dijangka. Mana mungkin mereka dengan mudah melabel dia sebagai pengganas tetapi di Sinar Harian, Tarrant adalah pengganas.

Kisah pembunuhan di Christchurch bukan berkisar kepada agama semata-mata namun ia melibatkan kemanusiaan. Tidak kira agama apa pun, ia tidak pernah mengajar penganutnya membunuh orang lain.

Manusia jenis apa sanggup membunuh puluhan orang tidak bersalah, merakamkan pula video dia sedang menembak dan sebarkan di laman sosial.

Selepas ditangkap, dia menunjukkan pula isyarat ‘white power’ di dalam mahkamah. Pada penulis, dia selayaknya digelar pengganas.

Anak kecil, datuk, ibu, bapa, abang, kakak, adik kepada orang lain semua menjadi mangsanya. Dahsyat sungguh!

Walaupun Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern enggan menyebut namanya kerana jijik dengan kekejaman Tarrant namun keluarga mangsa pastinya tidak akan pernah melupakan nama lelaki kejam itu.

Semalam, Sinar Harian melaporkan pengganas itu ‘dijamin’ menghabiskan sisa hidupnya dalam penjara dan Tarrant bakal berdepan lebih banyak tuduhan apabila dihadapkan semula ke mahkamah bulan depan.

“Ada banyak perdebatan sama ada dia patut didakwa di bawah undang-undang keganasan atau dituduh di bawah Akta Jenayah kerana membunuh.

“Apa yang pasti, dia akan meringkuk seumur hidup dalam penjara,” kata Profesor Undang-Undang di Universiti Waikato, Alexander Gillespie.

Sekarang, seluruh dunia sedang menantikan hukuman bakal dikenakan kepada pengganas itu.

Pastinya, mereka mendambakan hukuman berat kerana jenayah dilakukannya di luar norma kemanusiaan.

Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka sebaiknya dan kita teruskan berdoa supaya keadilan dapat ditegakkan buat semua mangsa terlibat.

Buat semua umat Islam yang maut dalam insiden tersebut, damailah kamu di sana...

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!