Kapal tangki ditahan bersauh tanpa kebenaran

Sebuah kapal tangki ditahan selepas didapati berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 26 batu nautika barat daya Sekinchan pada Sabtu.
Sebuah kapal tangki ditahan selepas didapati berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 26 batu nautika barat daya Sekinchan pada Sabtu.
A
A
A

SEKINCHAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 26 batu nautika barat daya Sekinchan pada Sabtu.

Pengarahnya, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kapal tersebut ditahan pada jam 2.10 petang oleh kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rutin 'Op Ehsan' di perairan Selangor.

Menurutnya, kapal tangki yang berdaftar di Greece itu dikesan sedang berlabuh tanpa kebenaran di luar batas Pelabuhan Klang oleh Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah.

"Maklumat itu disalurkan kepada Maritim Negeri Selangor untuk tindakan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohammad Rosli berkata, kapal tangki itu dikendalikan 25 kru lelaki termasuk nakhoda berusia antara 26 hingga 50 tahun.

"Kesemua kru warga Filipina memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati lokasi berlabuh terakhir kapal ini adalah di Singapura menuju ke Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE)," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas kegagalan pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Selangor.

"Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!