redONE, DWA meterai MoA, pacu Program Usahawan Digital
RedONE Network Sdn Bhd (redONE), Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) terbesar di ASEAN, telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan perusahaan sosial pendidikan, Digital Way Academy Sdn Bhd (DWA) dalam usaha memacu peningkatan kemahiran digital serta kemahiran semula rakyat Malaysia melalui Program Usahawan Digital.
Majlis menandatangani MoA yang diadakan pada 4 Mac 2022 di ibu pejabat DWA di Kuala Lumpur merupakan salah satu Program Kemajuan Kerjaya KPT (Trek Keusahawanan) pertama yang dikuasakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Ketua Pegawai Jualan redONE, Ben Teh berkata, kerjasama itu akan mewujudkan perkongsian strategik antara DWA dan redONE dalam pembangunan penting usahawan digital, terutamanya bagi graduan yang menganggur.
“Kita perlu membantu usahawan muda memanfaatkan ekonomi digital dengan lebih baik dan mencipta penyelesaian yang berdaya maju untuk menyelesaikan isu pengangguran dalam kalangan graduan baharu supaya mereka mempunyai peluang secukupnya untuk meningkatkan kualiti hidup dan berkembang maju dalam jangka panjang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pengerusi DWA yang juga Profesor Adjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Wei Chuan Beng berkata, bagi menangani kadar pengangguran yang tinggi dan kekurangan pekerjaan, keusahawanan digital adalah formula untuk membawa lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia sambil memacu kemajuan negara yang didorong oleh digital.
Jelasnya, melalui perkongsian itu, usahawan digital terlatih akan mendapat manfaat daripada ekosistem usahawan holistik redONE.
“Ini membolehkan mereka berkembang maju dalam persekitaran yang disokong. Inisiatif ini adalah permulaan usaha dalam melengkapkan tenaga kerja kami dengan kemahiran digital untuk menyesuaikan diri dengan era digital dan peluang kerjaya baharu yang akan datang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan DWA, Wei Su Hwa berkata, perkongsian itu turut berupaya merapatkan kerajaan (KPT), industri (redONE) dan universiti (UTM) bagi melengkapkan usahawan baharu dengan kecekapan utama untuk membina perniagaan digital moden.
“Bersama-sama dengan UTM, kami telah mereka bentuk kurikulum yang sangat relevan dalam pembangunan perniagaan digital, dipadankan dengan kecekapan hidup seperti pertumbuhan minda, kepimpinan dan komunikasi.
“Melalui perkongsian ini, graduan Malaysia menganggur yang layak boleh mendapat manfaat daripada program yang dibangunkan bersama oleh UTM dan DWA, diketuai oleh pakar subjek yang berkelayakan tinggi dari UTM untuk membina kemahiran dan kecekapan yang diperlukan bagi menerajui perniagaan digital moden dengan pantas,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!