GRS sah jadi entiti politik Sabah: Hajiji

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah menjadi satu entiti politik yang sah dan rasmi di Sabah.

Hajiji berkata, ia susulan pendaftaran GRS telah diluluskan pada Jumaat lalu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Saya telah terima sijil kelulusan pendaftaran parti GRS iaitu pada Jumaat lalu dan pendaftaran ini dibuat sebagai menyahut permintaan rakyat yang ingin melihat GRS bergerak sebagai satu entiti politik yang sah dan rasmi sebagai badan gabungan parti-parti yang ada di Sabah.

"Hasrat kita ialah untuk melihat negeri Sabah terus makmur dengan perpaduan serta kestabilan yang dapat mendorong agenda pembangunan kita, tiadamasa lebih sesuai selain sekarang," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Presiden KDM, Datuk Peter Anthony dan Timbalan Presiden KDM, Datuk Juil Nuatim.

Ketika diminta mengulas lanjut, Hajiji yang juga Pengerusi GRS memaklumkan permohonan gabungan itu sudah dihantar kepada RoS beberapa minggu yang lalu.

"Jadi, kita amat berterima kasih kepada pihak RoS yang telah meluluskan pendaftaran GRS," katanya.

Katanya, usaha mendaftarkan GRS itu adalah satu perkembangan yang bersejarah bagi politik Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah satu perkembangan yang amat bersejarah, satu jajaran politik baharu di Sabah dan kita harap dengan pendaftaran ini, kita akan lebih dapat menyatupadukan lagi parti-parti yang ada di Sabah yg berminat bersama-sama berjuang dalam GRS ini.

"Kita akan guna gabungan ini untuk kita berjuang bangunkan negeri Sabah dan ini satu yang saya rasa cukup sesuai dalam keadaaan politik Sabah yg ada pada hari ini," katanya.

Dengan pandaftaran secara rasmi GRS, Hajiji mengajak semua pihak menghapuskan politik negatif dalam usaha memajukan Sabah.

"Marilah kita hapuskan politik negatif dan remeh-temeh dan berbekalkan sumber dan kekuatan marilah kita sama-sama junjung mandat yang rakyat berikan kepada kita untuk kemakmuran negeri Sabah," katanya.

Sementara itu, Hajiji mengalu-alukan hasrat KDM untuk bersama GRS.

"Insya-ALLAH saya akan bawa permohonan ini untuk pertimbangan dan persetujuan rakan-rakan komponen parti GRS," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!